Jakarta bandar No. 1 tercemar di dunia, punca Jokowi batuk?

Jokowi disahkan oleh Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Uno bahawa Presiden Indonesia itu belum pulih daripada masalah batuk yang dialaminya sejak empat minggu lalu. (FOTO: Kompas.tv)
- Advertisement -

JAKARTA: Ibu kota Indonesia, Jakarta yang baru-baru ini diumumkan secara rasmi sebagai bandar paling tercemar di dunia seolah-olah terbukti apabila Presiden negara itu, Joko Widodo telah mengalami batuk selama berminggu-minggu.

Kementerian Indonesia pada minggu ini telah mengesahkan Widodo atau popular dikenali sebagai Jokowi mengalami batuk sejak berminggu-minggu lalu dan belum pulih, menyebabkan ia boleh dikaitkan dengan pencemaran udara yang semakin teruk di bandar dihuni populasi mencecah 10 juta orang itu.

- Advertisement -

Berita itu datang hanya beberapa hari selepas syarikat Switzerland, IQAir mengeluarkan data yang menunjukkan kualiti udara Jakarta telah merosot dalam beberapa minggu kebelakangan ini untuk menjadikannya bandar nombor satu paling tercemar di dunia, lapor CNN.

“Presiden Joko Widodo telah meminta supaya ada langkah konkrit (untuk menangani pencemaran udara) dalam tempoh seminggu ini. 

“Beliau sendiri telah batuk selama hampir empat minggu dan berkata beliau tidak pernah berasa (alami batuk) seperti (yang dialaminya) ini,” kata Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Uno kepada pemberita selepas mesyuarat parlimen antara menteri di Jakarta pada Isnin lalu.

Uno berkata, doktor masih mendiagnosis punca batuk yang dialami Widodo, 62, tetapi menambah bahawa ia mungkin berkaitan dengan kualiti udara yang semakin teruk, lapor sekutu CNN, iaitu CNN Indonesia.

Pada keesokan harinya, Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin juga menyatakan presiden itu sedang menghadapi batuk dan berkata kementeriannya sedang meningkatkan ujian dalam populasi umum untuk melihat sama ada terdapat peningkatan penyakit paru-paru dan pernafasan seperti asma di kawasan yang sangat tercemar.

“Kami sedang memantau keadaan,” kata Budi kepada pemberita.

“Semua laporan mengenai kesan pencemaran udara terhadap kesihatan awam akan diselaraskan kepada kementerian dan agensi rasmi berkaitan untuk penilaian,” tambahnya.

Terdahulu, pakar alam sekitar berkata, pencemaran udara sudah lama melanda kawasan penduduk padat di Jakarta, dengan kilang, loji janakuasa arang batu dan kesesakan lalu lintas kesemuanya menyumbang kepada pengumpulan asap berbahaya kepada kesihatan manusia.

Pada 2019, sekumpulan 32 penduduk melancarkan tuntutan sivil terhadap Widodo dan beberapa anggota kabinetnya, mendakwa beliau gagal mengambil tindakan untuk mengawal pencemaran udara dan menegakkan hak mereka untuk udara bersih.

Dua tahun kemudian, Mahkamah Daerah Jakarta Pusat memutuskan memihak kepada penduduk berkenaan, dengan berkata kerajaan Indonesia  telah melanggar undang-undang perlindungan alam sekitar negara dan menyeru pegawai atasan untuk mewujudkan standard kualiti udara ambien nasional bersama-sama dengan langkah-langkah lain.

Namun, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kualiti udara di Jakarta  menjadi sangat teruk, merosot kepada yang paling teruk di dunia, menurut data yang disahka IQAir, sebuah syarikat teknologi kualiti udara Switzerland.

“Pada 9 Ogos lepas, Jakarta mendahului senarai bandar tercema  selepas mencatatkan paras pencemaran udara ‘tidak sihat’ hampir setiap hari. Ia secara konsisten disenaraikan antara 10 bandar paling tercemar di dunia sejak Mei 2023,” ujar kenyataan  IQAir.

Pada Isnin, Widodo mempengerusikan mesyuarat kabinet untuk membincangkan isu pencemaran udara yang semakin teruk dan menggesa campur tangan kerajaan segera.

Beliau menyalahkan punca pencemaran itu terhadap ‘aliran trafik jalan raya yang berlebihan, musim kemarau yang panjang dan sumber tenaga – terutamanya yang menggunakan arang batu’ dan mencadangkan langkah seperti ujian pelepasan ke atas kereta dan menggalakkan orang ramai bekerja dari rumah sebagai cara untuk mengurangkan masalah tersebut.

Beliau juga berkata cukai pencemaran sedang dipertimbangkan.

“Sepanjang minggu lepas, kualiti udara di Kawasan Jakarta Raya adalah sangat, sangat teruk,” kata Widodo. 

“Penyeliaan mesti dilakukan dalam sektor perindustrian dan penjanaan kuasa dan kita juga mesti mendidik orang ramai (untuk mengurangkan pelepasan),” tambahnya.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat itu, Uno berkata, kerajaan sedang melihat ‘langkah konkrit’ untuk meningkatkan kualiti udara Jakarta dalam jangka panjang.

“Jika kita melihat kejayaan Beijing melakukan itu, saya amat yakin dengan kerjasama kerajaan tempatan dan perniagaan, kita juga boleh meningkatkan kualiti udara di Jakarta – ia akan memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan awam,” katanya merujuk kepada kejayaan China dalam meningkatkan kualiti udara di ibu negaranya

Pakar alam sekitar sehubungan itu mengalu-alukan pendirian kerajaan Indonesia berkenaan dengan penganalisis politik dari Universiti Nottingham, Bridget Welsh berkata bahawa pencemaran udara adalah masalah serius di Asia Tenggara.

“Walaupun terdapat penambahbaikan di Jakarta (di kawasan seperti) pengangkutan awam, ini perlu ditingkatkan bersama-sama dengan penguatkuasaan yang lebih baik terhadap pembakaran (bahan api fosil) dan penggunaan kenderaan terkawal,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kerajaan Indonesia bercadang untuk memindahkan ibu negaranya ke Nusantara, di wilayah Kalimantan Timur dalam kepulauan Borneo, namun langkah tersebut hanya dicapai dakam tempoh  bertahun-tahun akan datang dan tidak akan menyelesaikan masalah pencemaran di Jakarta.

“Berpindah ke ibu kota baharu hanya akan mengimbangi isu itu buat sementara waktu. Kos kesihatan akibat pencemaran udara di  Indonesia adalah serius dan tidak boleh dipandang rendah,” katanya.  – HARAKAHDAILY 16/8/2023

- Advertisement -