
YAN: Suasana pengundian di Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Bukit Besar berjalan lancar walaupun awal paginya hujan.
Kelihatan ramai pengundi terutama dari kalangan warga emas dan dewasa keluar awal untuk membuang undi.
Dalam pada itu, calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abd Samat tiba di pusat pengundian tersebut kira-kira jam 8 pagi ini.
Ketika ditemui HarakahDaily, beliau berpuas hati kerana ramai yang mengambil kesempatan mengundi awal.
“Alhamdulillah, setiap saluran yang saya lawati semuanya dah ada pengundi yang berbaris untuk membuang undi,” katanya.
SK Bukit Besar merupakan salah satu daripada 17 pusat pengundian yang terdapat di DUN berkenaan khususbuat Pilihan Raya Negeri 2023 di Kedah.

Azam yang juga membuang undi di pusat tersebut mengharapkan semua calon PN seluruh Kedah mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Dalam pada itu ujarnya lagi, pelbagai aktiviti kempen dilakukan sebelum ini mendapat sokongan ramai termasuk dari golongan muda.
Anak-anak rantau yang pulang ke kampung untuk mengundi juga menunjukkan reaksi positif terhadap PN, tambahnya.
Azam menang di DUN Sungai Limau dua penggal berturut-turut (PRU13 dan PRU14).
Pada PRN ini beliau bertarung dua penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Siti Balkhis Husain untuk mempertahankan kemenangannya.
Bercakap berkenaan kekuatan pihak lawan, kata Azam, mereka juga bekerja namun gelombang lebih memihak kepada PN. – HARAKAHDAILY 12/8/2023




















