Azmin Ali tiba awal di pusat undi PRN

Azmin Ali tiba di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Klang Gate, Gombak, Selangor pada jam 8.40 pagi hari ini, 12 Ogos 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

GOMBAK: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tiba awal di pusat  mengundi di Sekolah Kebangsaan Klang Gate, di sini, pagi ini.

Mohamed Azmin yang bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang baru sahaja tiba bersama-sama isterinya, Datin Seri Shamsida Taharin dan ibu saudaranya pada jam 8.40 pagi tadi.

- Advertisement -

Kedatangan beliau disambut oleh pelbagai media dan penduduk di kawasan tersebut serta sebahagian pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu kelihatan turut membantu menolak kerusi roda seorang warga emas untuk ke kawasan mengundi sebentar tadi, sejurus sebelum membuang undi.  

“(Saya) Agak optimistik terhadap sokongan di Hulu Kelang. Saya jangka bilangan pengundi yang datang tunaikan tanggungjawab amat memuaskan,” katanya yang selesai membuang undi pada jam 9.20 pagi.

Memulakan karier politiknya dengan memenangi kerusi Hulu Kelang pada tahun, 1999, beliau kemudian bertanding di Bukit Antarabangsa mulai 2008 dan menyandang kerusi tersebut selama tiga penggal sehingga tahun ini. – HARAKAHDAILY 12/8/2023

- Advertisement -