‘Pilih pemimpin yang selami denyut nadi rakyat’

Calon PERIKATAN NASIONAL, Cikgu Syarifah lebih diyakini, berwibawa dan berpengalaman bagi mewakili suara penduduk di DUN Lembah Jaya, Selangor.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Saya menyeru pengundi Lembah Jaya, Selangor khususnya untuk turun beramai- ramai esok bagi memilih pemimpin yang  akan mendengar suara rakyat dan akan sama-sama menyelami denyut nadi rakyat. PERIKATAN NASIONAL adalah pilihan yang terbaik untuk anda.”

Itu penegasan daripada calon PERIKATAN NASIONAL di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, Selangor, Sharifah Haslizah Syed Ariffin mengenai ketibaan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 menjelang esok, Sabtu (12 Ogos).

- Advertisement -

“Perasaan saya sangat teruja dan tidak sabar untuk melihat referendum rakyat Selangor untuk mengubah kerajaan yang mereka yakin lebih bersih dan stabil,” katanya kepada HarakahDaily di sini, hari ini.

Gelanggang PRN 2023 esok di DUN Lembah Jaya bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru antara beliau dengan calon Pakatan Harapan (PH), penyanyi rap, Altimet atau nama sebenarnya, Syed Abdul Rahman Alhadad.

Berbanding lawannya yang diketahui umum merupakan seorang rapper, Syarifah atau cukup dikenali dengan panggilan ‘Cikgu Syarifah’ sebaliknya pernah diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai ahli majlis di Zon 12 Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) antara tahun 2013 hingga 2018 – suatu kelebihan yang jelas buat dirinya secara peribadi di DUN Lembah Jaya.

Lembah Jaya diketahui merupakan kawasan pinggir bandar dengan kira-kira 40 peratus golongan berpendapat rendah atau B40, jadi siapakah yang lebih diyakini berjiwa rakyat dalam memahami dan menangani isu-isu masyarakat di sini, kalau bukan Cikgu Syarifah.

Beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Ampang sehubungan itu turut berkongsi bahawa beliau sudah selesai dengan jelajah kempen di seluruh Lembah Jaya; dan turut menyertai program ceramah PERIKATAN NASIONAL Grand Finale Selangor Bangkit Gemilang di Padang Awam Fasa 5, Taman Melawati bermula jam 9 malam ini.

“Alhamdulillah penduduk Lembah Jaya yang ditemui, 90 peratus telah memberi sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL. 

“Mereka mahukan pemimpin yang turun padang, yang mendengar suara rakyat, yang sudah tentunya mahu menikmati inisiatif daripada kerajaan yang telah mereka pilih,” ujarnya.

Sehubungan itu, Cikgu Syarifah tidak lupa untuk menitipkan pesanan buat semua pengundi di DUN Lembah Jaya.

“Tidak kira sama ada anda penyokong dan ahli PERIKATAN NASIONAL sendiri, atau ahli Umno dan PKR, pilihlah PERIKATAN NASIONAL untuk menjadi parti yang akan memimpin rakyat di DUN Lembah Jaya ini.

“Kita tidak mahu peminpin yang hanya tahu bercakap tetapi tidak melaksanakan apa yang mereka katakan,” tegasnya yang memberitahu bahawa beliau akan mengundi di Sekolah Kafa Al Huda, Taman Rasmi Jaya, Ampang, esok.  

“PAS ketika era kerajaan Pakatan Rakyat di N20 Lembah Jaya telah buktikan yang kami bekerja untuk rakyat, jadi tiada pilihan terbaik selain memilih PERIKATAN NASIONAL yang bersih dan stabil,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/8/2023

- Advertisement -