PRN: 5 ‘si’ jadi faktor sokongan kepada PN atau PH-BN

PH-BN hanya mampu menang dua kerusi DUN Kedah

- Advertisement -

MENTERI Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjadi sasaran utama para politikus dan pendukung Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) pada PRN ini. Walaupun begitu ramai menyerang, hakikatnya pertembungan sebenar adalah antara beliau dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

PRN ini menjadi medan buat Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS itu membuktikan kemampuan mempertahankan Kedah, Terengganu dan Kelantan. Selain beliau yang juga selaku ‘Panglima Perang’ yakni Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) untuk merampas Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. 

Manakala bagi Anwar, ia kritikal untuk setidak-tidaknya mengekalkan tiga negeri diperintah PH, setelah diberi analisis hampir mustahil menang di negeri PN-PAS. Jika tidak, ‘yang dicari tak dapat, yang dikendong keciciran’, termasuk kemungkinan terlepas kuasa Persekutuan dipegang beliau.

Namun, siapa sebenarnya menguasai pertempuran atau meraih kemenangan, hanya terjawab dari keputusan PRN melibatkan enam negeri akan diumumkan sekitar jam 8 malam esok. Terdapat lima ‘si’ dikenal pasti menjadi faktor utama yang menentukan sokongan kepada PN atau PH-BN pada PRN ini:

Sanusi

Dirinya sendiri adalah faktor di mana Sanusi menjadi ‘kejutan’ kepada PH-BN yang meremehkan (underestimate) dan tidak menjangka (unpredictable) terhadap beliau. Hinggakan mereka menganggap Sanusi boleh digertak atau ditekan untuk tunduk akur, sebaliknya mereka yang ‘dijerkah’ beliau.

Kehabisan modal untuk memerangkapnya dalam beberapa isu, PH-BN dilihat melemah apabila sekadar mengejek dan membebel mengenai Sanusi. Mereka kembali menggelarnya dengan label seperti ‘loqlaq’, badut, pelawak, biadab, kurang ajar, kejar populariti, cari ‘glamour’ dan sebagainya.

Walhal Sanusi bukanlah seperti itu, beliau dilabel buruk, sedangkan itu adalah keterbukaan dirinya yang ‘hemoi’ dan cepat mesra dengan sesiapa pun. Beliau mudah bergurau hingga ‘pecah panggung’ oleh ketawanya atas rasa lucu yang ada pada bicara orang lain, hatta ucapan dia sendiri.

Begitu juga jika Sanusi mencari perhatian, tentulah beliau telah lakukan di dalam PAS sendiri untuk menjamin kedudukan dan jawatannya. Namun beliau tidak ‘pulun’ ke situ, buktinya beliau tidak terpilih dalam dua sesi Muktamar Tahunan PAS sebelum tahun 2021.

Menunjukkan ramai di dalam PAS sendiri tidak mengenali kapasiti Sanusi walaupun beliau menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sejak tahun 2015 dan menang PRU14 di N.24 Jeneri. Sebaliknya, beliau banyak menghabiskan masa mengibarkan usaha perjuangan PAS di pentas antarabangsa.

Semua medan yang dimasuki beliau itu bukan sahaja penuh cabaran dan risiko, malah tidak mungkin mendapat satu undi pun untuk di bawa pulangnya. Tetapi Sanusi sangat fokus, hadam dan mahir dalam selok-belok merancang, mengoperasi dan menyempurnakan tugas dipertanggungjawabkan.

Beliau pemimpin yang lahir dalam kalangan amilin atau aktivis di mana dilihat memperjuangkan pembelaan ke atas kaum mustad’afin dan merasai denyut nadi mereka. Sanusi bersinar seperti pemimpin ‘mujaddid‘ dan ‘mujahid‘ masa lalu; Umar Abdul Aziz, Harun al-Rasyid, Qutuz, Salahuddin al-Ayubi, Muhammad al-Fateh.

Ramai melihat beliau berani dan yakin menghentak para ‘mustakbirin’, sekali gus melindungi dan memperjuangkan kepentingan rakyat. Cakapnya penuh penjelasan, beliau berhujah dengan fakta, menerangkan rasional dan tidak berpura-pura hingga terasa dekat dan menyentuh hati rakyat.

Diskriminasi

Dalam pertembungan yang wujud antara keduanya, orang ramai dapat melihat sikap emosi dan tidak matang pentadbiran Anwar terhadap Sanusi. Antaranya seperti pernah disebut Sanusi, adalah sekat liputan media arus perdana kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah dipimpinnya.

Begitu juga apabila dibatalkan tempahan tempat untuk Majlis Iftar Ramadan MB Kedah Bersama Anak Perantau di MAEPS, Serdang dan jemputan LIMA’23 di Langkawi. Termasuk cubaan menukarkan Sanusi dengan wakil lain dari Kerajaan Negeri ke Mesyuarat Majlis Kewangan Negara.

Apatah lagi bila Perdana Menteri tidak melayan permohonan Menteri Besar Kedah itu untuk bertemu rasmi bagi perbincangan mengenai kepentingan negeri. Termasuk dolak-dalih dan berbohong Anwar mengenai projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), tetapi begitu murah hati kepada Pulau Pinang.

Semua itu dilihat rakyat sebagai satu tindakan diskriminasi yang sangat jelas dan sikap politik tidak bertamadun oleh pentadbiran Anwar. Bagi Sanusi, diskriminasi akan menjadi sebab kejatuhan pentadbiran yang masih memakai sikap unipolar dan satu uniform, di sebalik kepelbagaian sedang wujud

“Bangsa yang melakukan diskriminasi, parti yang berpakat untuk menganak tirikan orang lain, kena ingat berapa puluh tahun (dahulu) satu parti yang begitu berkuasa, begitu hebat, begitu kaya, begitu disokong oleh orang ramai namanya BN, akhir sekali kerana diskriminasi kepada Kelantan, tumbang dalam PRU14.

“Kalau BN mengambil masa 50 tahun untuk tumbang atas sikap diskriminasi itu, kerana pada waktu itu maklumat sampai begitu lambat, surat khabar TV jarang ada di kampung. Hari ni, apa yang dibuat oleh Perdana Menteri di China akan segera diketahui di daerah Baling dalam waktu yang sangat singkat.

“Maka, parti dan pemimpin yang melakukan diskriminasi, penindasan, ketidakadilan akan ditolak dalam setiap kali pilihan raya. Kalaupun tak berlaku pilihan raya, akan ditumbangkan secara Perlembagaan melalui Parlimen kerana maklumat ini begitu cepat sampai.

“Lagi banyak mereka melakukan diskriminasi, lagi besar tekanan yang diberikan kepada pihak yang tidak sealiran dengan mereka, saya yakin rakyat Malaysia seluruhnya mendoakan berlaku kejatuhan mereka lebih cepat, tak payah PRU 16. Ada cara-cara dia. Dan rakyat telah belajar bagaimana boleh berlaku peralihan selepas pilihan raya.

“Di mana Ahli-ahli Parlimen telah membuat pakatan-pakatan untuk memilih pemimpin baru. Boleh dilakukan. Bukan satu kesalahan. Dan saya yakin perkara ini akan berlaku dengan lebih cepat apabila Perdana Menteri dan Menteri-menteri Persekutuan mempamerkan, menyerlahkan ketidakadilan, diskriminasi dan penindasan kepada pihak yang tidak sealiran dengan mereka,” kata Sanusi

Autokrasi

Rakyat pernah simpati terhadap Anwar atas keadaan menimpanya dahulu, tetapi terkejut apabila beliau menghadapkan perkara seumpama kepada Sanusi. Sekalipun pihaknya menafikan, tetapi rakyat tetap melihat wujud ‘tangan ghaib’ di pihak Anwar untuk memberi tekanan kepada Sanusi.

Banyak pihak tidak melihat kewajaran untuk Sanusi ditahan jam 3 pagi dengan kerahan kekuatan polis yang ramai, selain pertuduhan ‘diada-adakan’ ke atasnya. Ramai percaya, ia satu tindakan provokasi yang mengharap tindak balas ganas, namun ia gagal disebabkan ketenangan Sanusi.

Perkara membimbangkan, apabila terdedah hubungan pihak PH-BN dengan anasir luar di peringkat global yang dikatakan turut berperanan mendanai PRN ini. Ia dilihat satu tindakan terdesak daripada pihak mereka untuk mempertahankan kuasa secara autokrasi setelah menodai pesta demokrasi.

Kontroversi

Setelah usaha mengerah konco-konco Anwar untuk ‘membenam’ Sanusi gagal, termasuk ‘drama’ perlombongan haram, mereka kembali menggambarkan Sanusi sebagai individu kontroversi. Sebenarnya, merekalah orang-orang yang kontroversi kerana membohongi serta mengkhianati rakyat dengan pelbagai manifesto, janji dan sumpah. 

Kontroversi semakin memanas apabila Sanusi berani mengulang dan membongkar skandal, hipokrit dan komplot mereka. Sama ada cerita ‘luar tabii’, mahupun hubungan mereka dengan taikun-taikun, hinggalah menjadikan kuasa kerajaan sebagai batu loncatan mendapat kepentingan politik. 

Maka Sanusi mesti digambarkan sedemikian untuk mereka melepaskan diri ibarat ‘pencuri menjerit orang lain pencuri’. Namun, rakyat semakin tidak percaya kepada mereka kerana gagal membuktikan tuduhan fitnah, berbanding penjelasan meyakinkan dibentang Sanusi.

Akhirnya dalam cubaan untuk mengkontroversikan batang tubuh Sanusi, yang terbuka pekung adalah mereka sendiri antaranya pembiayaan penggunaan helikopter. Begitu juga lobi menguasai perlombongan unsur nadir bumi (REE) dan skandal Selangor Maritime Gateway.

Kompetensi

Di sebalik semua intimidasi dan tekanan cuba dihempap ke atas Sanusi, dilihat kepimpinan termasuk calon-calon PRN ditampilkan PN kali ini begitu meyakinkan. Kompetensi yang wujud dan telah dipamerkan menjadi reputasi unggul sukar ditandingi oleh PH-BN.

Sanusi telah menjadi satu pengaruh, aura, simbol dan penanda aras yang bersinar lagi terpancar gemilang hingga semua diucap atau dilakukannya menjadi ‘trending’. Gaya angkat tangannya, slogan ‘lawan sampai menang!’ dan ‘buka mulut ja, bohong!’ sedang menjadi gelombang yang menakutkan Anwar.

Jangkaan keputusan PRN Kedah

Daripada survey media yang dilakukan, keputusan PRN Kedah kekal memihak kepada PN di mana dijangka memperolehi majoriti undi lebih besar. Terserah kepada PH-BN untuk bernostalgia dan syok sendiri serta ‘claim’ kononnya sokongan kepada gabungan mereka sedang meningkat dan menang sekurangnya 16 DUN.

Perolehan mendapati akan berlaku peralihan sokongan terutama dalam kalangan ahli atau pengundi Umno-BN pada PRU15 lalu. Pada PRN ini peralihan sokongan ahli atau pengundi Umno kepada PN dapat dinyatakan secara pecahan kawasan dengan peratusan undi dijangka seperti berikut:

● DUN-DUN Luar Bandar 
– Sekurang-kurangnya 20% tekad undi kepada PN;
– Kurang 80% lagi tidak ‘solid’ kepada BN;
– Kelompok kurang 80% itu ragu-ragu dengan PH.

● DUN-DUN Separa Bandar
– Lebih 40% tekad undi kepada PN;
– Kurang 60% lagi tidak ‘solid’ kepada BN-PH;
– Sebahagian daripada 60% itu mereka berkepentingan.

● DUN-DUN Bandar
– Lebih 60% tekad undi kepada PN;
– Kurang 40% lagi tidak ‘solid’ kepada BN-PH;
– Sebahagian besar 40% itu mereka berkepentingan.

Manakala ahli atau penyokong PH dalam kalangan orang Melayu terdapat sehingga 40% tidak akan mengundi PH kembali, namun tidak dapat dipastikan ke mana undi mereka. Kebanyakan yang masih menyokong mempunyai sikap tidak rasional kepada PN, selain berkepentingan bersama PH.

Begitu juga kaum Cina dan India, majoritinya menunjukkan rasa hambar, ketidakpastian dan ragu-ragu untuk terus menyokong PH, namun tidak dapat dipastikan ke mana undi mereka. Kebanyakannya dihasut dengan sentimen atau propaganda dimainkan PH, tetapi bersetuju PH tidak menunjukkan prestasi.

Didapati pengundi PN pada PRU15 lalu masih 100% akan mengundi PN dan lebih 90% pengundi kali pertama dalam kalangan usia 18 tahun Melayu juga cenderung PN. Menariknya, terdapat lebih 50% pengundi berusia 30 tahun dan ke atas Melayu yang tidak pernah mengundi selama ini, cenderung kepada PN.

Kesimpulan, secara perbandingan sokongan PRU14 dan PRU15 serta jumlah pengundi baharu dan pengundi berusia yang kali pertama akan mengundi; PH-BN hanya berpeluang menang di dua DUN sahaja, bahkan dengan gelombang semasa tidak mustahil ‘lenyap’ terus dari DUN Kedah.

IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]HARAKAHDAILY 11/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -