
KULIM: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baharu, Ts Dr Mohd Suffian Yusoff optimis memberi fokus kepada pembangunan kawasan berkenan, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Menurut beliau, Bandar Baharu agak terpinggir dan tercicir lantaran kedudukan daerahnya terpencil di Kedah.
“Bandar Baharu hanya mendapat tempias pembangunan dari negeri jiran yang bersempadan dengannya sama ada Parit Buntar dan Nibong Tebal.
“Saya mahu Bandar Baharu membangun dan dapat bersaing dengan kawasan-kawasan lain. Di sini kemudahan seperti hospital, sekolah menengah berasrama dan Institut Pengajian Tinggi (IPT), tiada. Yang ada cuma Kolej Komuniti sahaja,” tegasnya ketika ditemui HarakahDaily, di sini, hari ini.
Kekurangan yang ada di Bandar Baharu, ujar Mohd Suffian juga berpunca daripada wakil rakyat sebelum ini yang lemah dan kurang mengambil perhatian kepada masalah DUN berkenaan.
Dalam masa yang sama, masalah pesakit dan golongan terlantar dari segala sudut sama ada bantuan fizikal mahupun kesedaran kerohaniah juga menjadi fokusnya.
“Secara adat, pesakit terlantar dan tidak ada harapan sembuh dan memerlukan bantuan dan ehsan pihak lain.
“Kerap kali golongan ini diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk kelangsungan kemenangan parti politik mereka,” tambah beliau lagi.
Bekas pensyarah akademik Universiti Sains Malaysia (USM) tersebut sanggup meninggalkan dunia akademik semata-mata untuk berbakti kepada masyarakat melalui arena politik.
Menurutnya, keputusan itu dibuat dengan rela hati walaupun menyedari beliau meninggalkan kesenangan (keselesaan) yang dimilikinya sebelum ini.
“Saya berkhidmat dengan USM hampir 30 tahun, sebagai pensyarah akademik selama 16 tahun. Perkhidmatan saya masih berbaki enam tahun tapi saya berhenti awal.
“Inilah pengorbanan saya kepada rakyat Bandar Baharu. Walaupun saya mampu ke peringkat lebih tinggi lagi sekiranya terus berkhidmat di USM.
“Apa yang saya hendak adalah untuk jadikan rakyat di DUN Bandar Baharu ini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang lain, berlari macamana orang lain seperti jiran sekitarnya,” tegasnya.
Anak jati Kampung Kuala Selama ini tidak mahu penduduk di DUN itu hanya menjadi pemerhati atau penonton kepada pembangunan kawasan lain justeru keputusannya ini dikira tepat.
Justeru, beliau sanggup bertungkus lumus, ‘berlemoih’ dengan selut di bendang dan kotoran di ladang, keluar daripada zon selesa masuk ke zon penuh pancaroba.
Sementara menyentuh tentang sokongan ahli keluarganya, Mohd Suffian menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai masalah kerana keluarganya termasuk isteri dan anak-anak memberi sokongan padu kepadanya.
“Keluarga saya ahli PAS sejak dahulu lagi dan antara yang dinafikan sebarang bantuan, dipulau serta ditindas oleh kerajaan sebelum ini tetapi kami bangun berdikari memajukan diri dan akhirnya enam daripada lapan adik beradik saya berjaya dan mempunyai ijazah,” katanya lagi.
Menjelang PRN 2023 12 Ogos ini, DUN Bandar Baharu menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Mohd Suffian berdepan calon Pakatan Harapan (PH) daripada BN, Nuraini Yusof.
Pada PRU14 lalu, DUN berkenaan telah dimenangi oleh Dato’ Norsabrina Mohd Noor (BN). – HARAKAHDAILY 8/8/2023




















