
PORT-AU-PRINCE: Ketegangan memuncak di ibu kota Haiti, Port-au-Prince, semalam apabila beribu-ribu penunjuk perasaan membanjiri jalan raya untuk bersuara menentang keganasan kumpulan gengster yang memusnahkan negara itu, termasuk menyebabkan kematian seorang pegawai polis, minggu lalu.
Kenderaan kerajaan dibakar, ketika penunjuk perasaan – ramai yang bertopeng – menentang polis, menuntut perlindungan dan bantuan. Pihak berkuasa kemudian menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka.
Seorang penunjuk perasaan muda, James, berkata dia berarak menentang kebangkitan kumpulan gengster yang telah merosakkan penjagaan kesihatan dan keselamatan berikutan semakin banyak penculikan dan pembunuhan.
“Kami tidak boleh hidup seperti ini lagi. Kejiranan lain ‘digangster’. Orang ramai meninggalkan rumah mereka,” katanya.
Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, kira-kira 73,500 orang melarikan diri dari Haiti tahun lalu berikutan keganasan kumpulan gengster yang semakin meningkat dan kemiskinan.
PBB juga berkata, 5.2 juta orang, iaitu hampir separuh penduduk Haiti, memerlukan bantuan kemanusiaan dan menggesa keperluan untuk bantuan antarabangsa di Haiti bagi memulihkan kestabilan.
“Ada pencuri. Kami tidak boleh tidur. Kami tidak boleh makan. Kami juga tidak boleh hidup. Kami tidak mencipta kumpulan gengster itu,” kata seorang di perarakan itu.
Penunjuk perasaan memberitahu Reuters bahawa mereka mahukan campur tangan di kawasan Port-au-Prince Carrefour-Feuilles, mengecam kekurangan perkhidmatan kesihatan dan kematian di tangan kumpulan samseng.
“Kami meminta kereta kebal,” kata seorang. – REUTERS











