Pengundi buat laporan polis terhadap calon BN

Mohd Hilmi bercakap kepada media selepas membuat laporan di IPD Kuala Terengganu.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang membuat laporan polis terhadap calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di Dun itu, Datuk Mohd Sabri Alwi.

- Advertisement -

Mohd Sabri dikatakan telah melakukan unsur sogokan dalam kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) ke-15 di Dun berkenaan.

Pengadu, Mohd Hilmi Jusoh, 33, membuat laporan berkenaan kerana merasakan telah berlaku ketidakadilan dalam proses kempen, selain calon didakwa telah melanggar peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, beliau membuat laporan berkenaan sogokan pilihan raya berdasarkan maklumat yang diterima daripada Facebook mengatakan bahawa satu unsur sogokan berlaku di Pangsapuri Ladang Gemilang pada 4 Ogos lalu.

Menurutnya, calon BN berada pada program ‘Tukar Minyak Hitam’ bersama beberapa petugasnya yang dihadiri oleh ‘rider-rider’.

Tambahnya, calon itu berada di situ dan ada bukti bergambar menunjukkan beliau menuang sendiri minyak hitam ke dalam motosikal salah seorang penerima.

“Kita lihat ia satu unsur sogokan dan kita dapati ada dalam Seksyen 8,9, atau 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang melibatkan larangan program penjamuan, pemberian hadiah dan perkhidmatan yang berlaku dalam program tersebut.

“Di gambar itu jelas pemberian dan perkhidmatan daripada calon BN itu sendiri, saya membuat laporan bertujuan supaya tindakan diambil kepada pihak berkenaan,” katanya yang membuat laporan polis di IPD Kuala Terengganu, di sini.

Baginya adalah tidak adil sekiranya satu pihak yang bertanding mematuhi peraturan berkenaan sedangkan satu pihak lagi tidak mematuhinya.

“Ini satu yang tidak adil bagi mereka melanggar akta yang mereka laungkan dan petisyenkan baru-baru ini,” katanya yang merujuk petisyen keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu.

Untuk rekod, bagi Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 – Penjamuan.

Setiap calon boleh dianggap melakukan rasuah dengan menawarkan makanan, minuman kepada bakal pengundi kerana tindakan tersebut menunjukkan penghargaan supaya pengundi mengundi mereka. Petikan Seksyen 8 adalah seperti berikut:

“…dan tiap-tiap orang yang secara rasuah… memberikan atau mengadakan atau membelanjakan apa-apa makanan, minuman, atau makanan atau minuman ringan atau bekalan itu atau mana-mana wang atau tiket itu atau yang menggunakan apa-apa cara atau tipu daya lain bagi maksud untuk mempengaruhi…supaya memberikan atau tidak memberikan undinya dalam pilihan raya itu….untuk membolehkan makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan itu didapatkan bersalah atas kesalahan menjamu.”

Kata kuncinya adalah ‘secara rasuah’, mempunyai niat dengan memberi makanan atau minuman yang ditawarkan tersebut. Sudah tentu modus operandi amalan sebegini kerap berlaku dalam politik Malaysia.

Manakala, Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 – Pengaruh tidak wajar, merujuk kepada “pengaruh yang tidak wajar” yang boleh menjadi kesalahan jika seseorang menggunakan kekerasan atau keganasan atau menghalang sehingga memaksa seseorang mengundi dengan cara tertentu, atau tidak mengundi langsung.

Dan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 – penyogokan, penyogokan berlaku sekiranya calon atau mana mana individu menawarkan ‘pembelian undi’ sama ada secara langsung atau tidak langsung seperti memberikan atau menawarkan wang, hadiah, pekerjaan atau pinjaman ketika proses pilihan raya. – TRDI.my

- Advertisement -