
PADANG TERAP: Seramai dua orang anggota polis sahaja yang ditempatkan di Felda Lubok Merbau bagi menjaga lebih 700 buah rumah peneroka.
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu, Mohd Radzi Md Amin atau lebih mesra dengan panggilan Paksu Di berasa terkilan dengan jumlah anggota polis yang ditugaskan di situ.
“Sebelum Paksu Di jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), seorang sahaja yang bertugas di situ kemudian selepas menang kita mohon penambahan jadi dua orang.
“Tidak munasabah hanya dua orang anggota polis ditugaskan untuk menjaga keselamatan penduduk dengan keadaan di situ yang agak padat,” katanya.
Menurut Paksu Di, sepatutnya 10 hingga 16 orang perlu ditugaskan di penempatan tersebut.
Felda Lubok Merbau adalah kawasan penanaman getah dan kelapa sawit.Antara kawasan berhampiran ialah Kampung Nami, Kampung Danglau, Kampung Sungai Bakap, Kampung Jurong dan Kampung Baru Nami.
Kawasan tersebut adalah merupakan kawasan hutan tebal yang menjadi tempat persembunyian komunis Parti Komunis Malaya (PKM) satu ketika dahulu.
Pada 1968, seramai 178 peneroka ditempatkan di Felda Lubuk Merbau dan sehingga kini, terdapat 769 peneroka terdiri daripada peringkat satu hingga peringkat sembilan. Kini, penempatan tersebut mempunyai bilangan penduduk lebih kurang 5,000 orang. – HARAKAHDAILY 3/8/2023




















