Calon PN Demit dekati penyokong PH

- Advertisement -

KOTA BHARU: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit, Ustaz Mohd Asri Daud menggunakan pendekatan kempen dengan turun naik rumah penduduk termasuk penyokong Pakatan Harapan (PH).

“Selain itu, saya juga pergi ziarah bekas calon yang lawan PAS di DUN Demit dahulu. Insya-Allah dia pun berminat hendak sokong bulan.

“Kami mengamalkan pendekatan politik matang dan sejahtera ketika mendekati pengundi PH dan Barisan Nasional (BN),” katanya pada sidang media di Pusat Media PAS Kelantan, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini beliau berdepan dengan calon PH, Dato’ Ismail Ghani. DUN Demit sebelum ini diwakili Dato’ Mumtaz Md Nawi sejak beberapa penggal lalu.

Sebelum itu, DUN ini pernah diwakili Allahyarham Dato’ Mohamad Daud Iraqi dan Ustaz Mustapa Mohamad. 

Mohd Asri yang juga bekas Setiausaha Politik Menteri Besar berkata, pertembungan dengan pihak lawan sebagai perlawanan persahabatan tanpa mengira pandangan politik yang berbeza.

Katanya juga sepanjang hampir seminggu kempen berjalan beliau mendapat kerjasama baik daripada semua pihak yang melangkaui fahaman politik.

“Setakat ini, gerak kerja kempen mendapat sambutan yang baik daripada pengundi,” ujarnya. 

Beliau juga meletakkan visi dan misi untuk menjadikan DUN Demit yang terletak di kawasan Parlimen Kubang Kerian sebagai pusat keilmuwan Islam di Kelantan.

Menurutnya di DUN Demit terdapat institusi pendidikan yang diasaskan ulama terkenal nusantara iaitu Tok Kenali.

“Saya lihat DUN Demit ada potensi yang besar muncul sebagai mercu ilmu Islam yang diwarisi daripada Tok Kenali sehingga sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/8/2023

- Advertisement -