
KOTA BHARU: Ucapan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan sumbangan kepada kelab motosikal Terengganu ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) jelas ada unsur meraih undi.
Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulkeflee Yaacob berkata, pengumuman pemimpin terbabit yang melibatkan bantuan kewangan menjejaskan tatakelola Kerajaan Madani.
Menurutnya, situasi itu dibiarkan berlaku ketika Perdana Menteri bercakap tentang korupsi dan memerangi rasuah siang dan malam.
“Ia merupakan teladan yang tidak baik biar pun dianggap SPRM bukan sogokan. Namun jelas ia menjejaskan moral politik, seumpama cakap tidak serupa bikin,” katanya di sini.
Baru-baru ini ketika melawat Terengganu Ahmad Zahid dilapor mengumumkan peruntukan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
Selain itu, RM250,000 untuk Majlis Belia Negeri Terengganu dan RM200,000 untuk pasukan bermotosikal di negeri berkenaan.
Tambah beliau, peruntukan itu akan ditambah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika parti kerajaan menang PRN di negeri tersebut.
Dr Zulkeflee berkata, ekoran tindakan menteri terbabit orang ramai menempelak kerajaan dengan menyebut ‘ini kerajaan kami, suka hati kami’.
“Tingkah laku tersebut jelas tidak menepati konsep masyarakat madani dalam demokrasi yang memberi hak rakyat memilih pemimpin dan kerajaan dengan bebas,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/8/2023




















