
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff meminta agar semua jentera parti PERIKATAN NASIONAL (PN) bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN).
Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan berkata, fokus utama dalam PRN kali ini adalah memberi kesedaran kepada masyarakat untuk bersama-sama memilih PN.
“Ibarat kita bermain bola di padang bola, fokus untuk kita adalah untuk mendapatkan gol sebanyak mungkin. Jangan peduli kemuncup, halangan-halangan kecil ataupun perkara remeh-temeh kerana fokus kita adalah untuk mencapai kemenangan.
“Selesai pilihan raya, barulah ibarat kalau kita main bola selesai masuk gol, kita habis masa penamat, barulah kita selesaikan masalah kemuncup di atau pun isu-isu lain,” katanya ketika kepada HarakahDaily selepas tamat program ceramah di Kampung Gobek Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Ipoh Tanah Merah, semalam.
Beliau bersama-sama Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan pimpinan PERIKATAN NASIONAL (PN) lain serta calon DUN dari PN turut mendoakan agar kemenangan berpihak kepada PN pada PRN kali ini.
Mantan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini juga meminta ahli parti agar bekerja membanting tenaga sepenuh masa bagi mencapai kemenangan di enam negeri.
“Jadi, buat masa ini perkara kerja-kerja peribadi cuba ringkaskan, cuba atur dengan baik, banyakkan masa kita untuk membantu di saat negara memerlukan tenaga kita. Jemaah memerlukan tenaga kita dan parti memerlukan tenaga kita.
“Saya menyeru kepada semua ahli parti dalam tempoh hanya ada 10 hari sahaja lagi ini. Sama-sama kita bekerja membanting tenaga sepenuh masa kita semaksima yang ada.
“Gunakan segala kepakaran yang masing-masing ada, segala kekuatan yang ada, dari sudut kemampuan ekonomi yang boleh bantu jentera ataupun kemampuan dari sudut ilmu. Kita ada apa jua kemahiran dan teknologi,” katanya lagi.
Justeru, beliau berharap agar ahli parti dapat membantu memenangkan semua calon parti PN terutamanya bagi mengangkat maruah martabat parti dan mencapai kemenangan di enam negeri yang bertanding. – HARAKAHDAILY 3/8/2023




















