Rakyat bimbang harga barangan asas naik lagi 

Mohd Shukri dalam majlis perasmian fasiliti pelancongan di Stesen Penyelidikan FRIM (SPF), Mata Ayer, Padang Besar, Perlis pada hari ini, 27 Julai 2023.
- Advertisement -

PADANG BESAR: Harga barangan keperluan harian seperti tidak terkawal sekarang apabila ada desas-desus akan naik lagi bulan hadapan.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, kedengaran orang ramai bercakap di sana sini harga barang asas termasuk beras akan naik lagi pada bulan hadapan.

- Advertisement -

Beliau menegaskan bahawa kerajaan PH-BN perlu memberi keutamaan kepada isu tersebut kerana ia boleh menjejaskan kehidupan rakyat terutamanya golongan miskin.

“Buat masa sekarang kita perlu tingkatkan ekonomi rakyat dan mengawal harga barang terutamanya keperluan harian,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan fasiliti pelancongan di Stesen Penyelidikan FRIM (SPF), Mata Ayer, di sini hari ini.

Menurutnya juga tanpa tindakan tegas kerajaan mengawal harga barang ia akan menjejaskan keluarga berpendapatan rendah. 

Tambah beliau, Jualan Rahmah yang diuar-uarkan kerajaan PH-BN tidak memadai kerana barang keperluan asas digunakan rakyat setiap hari. 

“Kenaikan harga barang perlu diberi perhatian. Kita tidak boleh hanya bergantung keppada Jualan Rahmah semata-mata.

“Jika boleh kesemua barang perlu dikawal kerana rakyat memerlukan keperluan asas bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/7/2023

- Advertisement -