
PADANG BESAR: Kerjasama erat antara agensi kerajaan pusat dan negeri penting bagi meningkatkan lagi perkembangan sektor pelancongan di Perlis.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat; Pelancongan; Kebajikan & Bantuan Bencana; Kebudayaan, Kesenian & Warisan, Wan Badariah Wan Saad berkata, kerjasama itu dapat merancakkan lagi sektor pelancongan negeri.
“Ia adalah sebagai persediaan Tahun Melawat Perlis (TMP) 2023-2024. Alhamdulillah, hari ini kita ada satu produk pelancongan baharu, saya rasa orang Perlis pun ada yang belum pernah datang ke sini.
“Jalinan kerjasama antara agensi kerajaan Pusat dan negeri akan dapat membangunkan pusat pelancongan di Perlis,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Fasiliti Pelancongan Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Mata Ayer, di sini, hari ini, yang meyaksikan program tersebut telah dirasmikan Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.
Menurutnya lagi, pada tahun ini pihaknya memberi tumpuan memperkenal serta menaiktaraf kemudahan asas di tempat pelancongan sedia ada.
“Ia adalah sebagai persediaan menyambut kedatangan pelancong bermula 1 Januari 2024 kelak,” ujar beliau.
Sementara itu ,Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Dr Ismail Parlan berkata, sektor eko-pelancongan menambah empat produk baharu berasaskan alam sekitar di Perlis.
Katanya, produk pelancongan berasaskan alam sekitar memberi peluang kepada pencinta alam untuk berkunjung ke lokasi terbabit.
“Antara produk tersebut iaitu Denai Chenderai, Tapak Campervan Jati, Chalet Kesinai dan bengkel larik di Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Mata Ayer.
“Denai Chenderai yang dibuka hari ini mempunyai jarak laluan sepanjang 500 meter dan diambil namanya sempena taburan spesies chenderai yang banyak di kawasan tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/7/2023




















