Menteri diminta siasat SADA rugi RM36 juta 

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Dalam Negeri (KDN), Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail diminta menyiasat kerugian Syarikat Air Darul Aman (SADA) sebanyak RM36 juta sepanjang tempoh 2018 hingga 2020.

Selain itu, syarikat terbabit juga mempunyai hutang mencecah RM149 juta, yang menyaksikan semuanya dibayar kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) sekarang ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, menteri terbabit juga boleh menyiasat wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) berjumlah RM13 juta yang dipindah ke Kanada ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN). 

Awat (kenapa) tak siasat MBI ketika di bawah BN memindahkan wang berjumlah RM13 juta ke Kanada. 

“Begitu juga dengan isu Jerai Internasional Park yang dibangunkan ketika Kedah diperintah BN tinggal hutang RM21 juta,” katanya dalam majlis pengumuman calon-calon PN di Kompleks PAS Kedah malam tadi. 

Hadir sama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya; Ketua Pemuda PN Pusat, Ahmad Fadhli Shaari; Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, pemimpin Bersatu dan Gerakan.

Sanusi juga berkata, sebelum ini tiada dalam sejarah anggota Exco dan Penasihat Undang-Undang Negeri terpaksa mengadap Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kerana difitnah pihak tertentu. 

“Sampai lapan jam diminta keterangan hanya kerana projek Litar Lumba Rakyat di Sungai Petani yang dijanjikan kerajaan dahulu (2013),” katanya.

Oleh itu, menteri daripada PKR terbabit perlu menjawab dua fitnah terhadap beliau dan kerajaan negeri berkaitan isu peruntukan MARRIS dan isu nadir bumi (REE). 

Menurut beliau, sekiranya dalam tempoh seminggu pemimpin PKR terbabit gagal menjawab atau memohon maaf, tindakan saman akan dikenakan. 

“Isu REE disiasat SPRM, polis dan Jabatan Perhutanan. Pesalah sudah dikenakan kompaun RM500,000. Namun, mereka masih tak puas hati. 

“Bagaimanapun, mereka sengaja nak wujudkan persepsi kononnya kerajaan negeri tidak bersih,” tegasnya. 

Sementara itu, menyentuh mengenai calon PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Menteri Besar berkata, mereka mempunyai pengalaman dan kebolehan sesuai untuk memimpin kerajaan bagi menjayakan Gagasan Kedah 2035.

Katanya, calon-calon akan terbabit bagi menggalas tugas dan amanah dalam merealisasikan ‘The Greater Kedah ’

“Mereka juga disandar harapan agar Kedah terus menjadi negeri tempat orang miskin bernaung dan kaya berbakti.

“Berbeza dengan calon-calon PH dan BN yang diumumkan secara berasingan. Calon PN dilihat lebih hebat dan bergaya,” tambahnya.

Sempena program tersebut semua calon PRN berikrar tidak akan melibatkan diri dengan sebarang bentuk rasuah sepanjang amanah rakyat dan negeri digalas. – HARAKAHDAILY 27/7/2023

- Advertisement -