
SHAH ALAM: Islam telah membuktikan bahawa pemerintahannya di seluruh dunia sama sekali tidak pernah mengganggu gugat kehidupan orang bukan-Islam dan amalan keagamaan mereka.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Islam apabila memerintah, tidak pernah memaksa orang bukan-Islam untuk menganut Islam, bahkan turut melindungi mereka.
“Di Mesir, masih ada gereja-gereja yang dibina sebelum (zaman) Nabi Muhammad SAW. Sampai sekarang masih ada penganut dia, menunjukkan mereka tak dipaksa (masuk Islam). Di Iran masih ada rumah Majusi yang dibina sebelum Masihi,” ujarnya.
Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengupas perkara itu pada Townhall Bicara: Negarawan dan Agamawan Untuk Rakyat Malaysia di Dewan i-City Convention Centre, di sini semalam.
Di era Islam menurutnya, ketika mana orang Islam diwajibkan zakat, orang bukan-Islam dikenakan jizyah yakni dengan cukai itu perlindungan dan jaminan keselamatan diberikan kepada mereka.
Terang beliau, bagaimanapun cukai-cukai yang dikenakan ke atas orang bukan-Islam boleh dibatalkan, sedangkan zakat sama sekali tidak boleh dibatalkan kerana ia kewajiban ibadah.
“Pernah berlaku zaman Saidina Umar, Abu Ubaidah Amir bin Jarrah jadi gabenor di wilayah Barat Islam. Bila Islam menghadapi ancaman tentera Rom menyebabkan mereka tak mampu nak jaga keselamatan. Lalu mereka pulangkan balik cukai Jizyah ini pada orang bukan Islam,” jelasnya.
Katanya, keadaan tersebut menyebabkan kaum bukan-Islam lebih reda berada di bawah pemerintahan Islam termasuk aspek perundangan di mana orang Islam dihukum apabila berbuat salah ke atas orang bukan-Islam.
“Apa yang berlaku ialah bila Kristian menang, berkuasa, dia roboh rumah ibadat Yahudi. Yahudi menang, roboh Kristian. Hindu menang roboh agama lain. Bila Islam berkuasa, beri hak pada kaum untuk rumah-rumah ibadat mereka.
“Nabi dan khalifah-khalifah berpesan. Bila kamu serang negeri orang tak boleh bunuh kanak-kanak, tak boleh bunuh orang tua, tak boleh bunuh sami-sami dan paderi-paderi di gereja. Tak boleh musnah hak orang awam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/7/2023




















