
KOTA BHARU: Polis Kelantan akan mewujudkan pusat sehenti di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi memudahkan wakil parti mendapatkan permit ceramah dan kempen sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun berkata, pusat sehenti itu akan mula beroperasi Sabtu ini selepas proses penamaan calon.
Katanya, wakil parti juga boleh mendapatkan nasihat tempat yang sesuai untuk mengadakan ceramah untuk mengelakkan berlaku pertembungan dengan parti lain.
“Sebelum ini wakil parti perlu melalui beberapa prosedur untuk memohon permit, namun pada PRN kali ini kami memudahkan cara iaitu mereka hanya perlu ke IPD untuk mendapatkan kebenaran berkenaan.
“Kita mahu proses PRN berjalan lancar dalam suasana yang baik. Soal menarik undi itu isu berbeza tetapi yang penting keharmonian sepanjang proses PRN,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Muhamad Zaki juga berkata, Polis Kelantan turut mendapat tambahan sebanyak 2,197 berbanding 1,840 anggota sebelum ini bagi melancarkan gerak kerja sepanjang kempen PRN.
Kata beliau sebelum ini pihaknya membangkitkan kedudukan negeri yang bersempadan dan hasilnya Polis Kelantan menerima anggota tambahan termasuk pasukan tambahan untuk Op Cantas.
“Kami akan sentiasa memberi nasihat selain bantuan jika diperlukan. Kita yakin PRN di Kelantan akan berjalan dengan baik,” katanya.
Menurut beliau juga pihaknya menerima laporan berkaitan khianat bendera parti di beberapa daerah di Kelantan, namun kes terbabit telah diselesaikan.
“Setakat ini masih terkawal, kita mengingatkan penyokong parti jangan membawa masalah dalaman parti sehingga merebak ke luar seterusnya mengganggu orang lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/7/2023











