Petunjuk kemerosotan ekonomi di bawah tadbir urus Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku juga Menteri Kewangan dilihat sedang gagal menangani kemerosotan ekonomi negara berdasarkan beberapa petunjuk yang berlaku. 

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, antaranya kejatuhan nilai Ringgit berbanding matawang lain termasuk negara-negara jiran serantau. 

“Dato’ Seri Anwar waktu jadi pembangkang bila Ringgit Malaysia jatuh dia kata kerana pemimpin (kerajaan) tak reti (memerintah). (Sekarang) Kerajaan dia tak tahu tadbir, sebab itu duit jatuh.  

“Kalau kita guna hujah dia itu, (sebab) hari ini dia jadi Perdana Menteri,” ujarnya menyatakan kerajaan kini juga celaru apabila Menteri umumkan penghapusan subsidi, tetapi Perdana Menteri sebaliknya. 

Keadaan tersebut tempelaknya, seolah-olah Kabinet tidak wujud dan tiada perbincangan antara Perdana Menteri dan Menteri-menteri sehingga membuat kenyataan saling bercanggah atau tidak selaras. 

Malah, beliau menyatakan rasa hairan apabila dilaporkan mesyuarat untuk menangani situasi ekonomi negara dilaksanakan oleh Perdana Menteri tanpa melibatkan Menteri Ekonomi baru-baru ini. 

Menurut beliau, keluhan dalam kalangan korporat dan profesional pula melihat kerajaan pada hari ini tidak memiliki hala tuju, bukan sahaja selepas 100 hari pentadbiran, tetapi kini sudah lebih 7 bulan. 

Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim juga turut menegaskan hujah serupa dengan menyatakan bahawa kejatuhan nilai Ringgit sebagai petunjuk kegagalan kerajaan dalam urus tadbir ekonomi. 

Jelasnya, jurang perbezaan pertukaran matawang tersebut sangat mempengaruhi ekonomi, selain petunjuk dari para pelabur yang enggan masuk mengadakan pelaburan ke negara ini. 

Bekas Menteri Besar Perlis itu juga menyatakan bahawa kejatuhan ekonomi adalah disebabkan rasuah di mana ia menjadi punca persepsi buruk terhadap negara hingga menghilangkan keyakinan banyak pihak. 

Menurut beliau, Anwar kini gugup apabila disebut bulan Ogos dan September hingga mendakwa beliau akan dijatuhkan pada masa itu hingga menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi, sedangkan itu hanya alasan menutup kegagalannya. 

Setakat 6 bulan pertama tahun 2023, para pelabur asing sudah membuat jualan bersih ke atas saham-saham Bursa Malaysia mencecah RM4.19 bilion, sekali gus menghilangkan belian bersih keseluruhan bernilai RM4.4 bilion sepanjang tahun 2022. 

Aliran keluar itu juga dilaporkan berlaku setiap hari pada bulan Jun iaitu 19 hari daripada 20 hari dagangan, selain pegangan asing dalam pasaran saham juga jatuh kepada 19.9 peratus setakat 30 Jun lalu. – HARAKAHDAILY 11/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -