SRITI Tahfiz Lahad Datu anjur kem kepimpinan

- Advertisement -

LAHAD DATU: Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Tahfiz Lahad Datu buat kali pertama berjaya mengadakan Kem Kepimpinan SRITI pada 8 hingga 9 Julai lalu.

Program bertempat di sekolah itu disertai seramai 17 peserta dalam kalangan pengawas sekolah, ketua kelas dan penolong ketua kelas.

- Advertisement -

Guru Besar SRITI Tahfiz Lahad Datu, Razik Tan, berkata program itu bertujuan melahirkan pemimpin pelapis dalam kalangan murid sekolah itu.

“Saya berharap peserta menerima amanah ini dengan rasa tanggungjawab agar dapat memberi kebaikan kepada rakan-rakan lain sehingga menjadi pelapis kepimpinan dan berdisiplin,” katanya pada majlis penutupan program itu.

Pada program itu, Muhammad Fatih Mubarak dan Alya Fatihah Hasanuddin, masing-masing dinobatkan sebagai peserta terbaik kategori muslimin dan muslimat.

Peserta menyertai aktiviti yang diadakan ketika kem kepimpinan.

Sepanjang program dua hari satu malam itu, pelbagai aktiviti dilaksanakan seperti kuliah dasar, latihan dalam kumpulan, aktiviti kemahiran dan solat jemaah.

Pada majlis penutup, sijil penyertaan dan saguhati juga diberikan kepada peserta. Turut hadir, Penolong Kanan Kokurikulum SRITI Tahfiz, Ihzzam Bistari serta ahli jawatankuasa program Kem Kepimpinan SRITI. – HARAKAHDAILY 11/7/2023

- Advertisement -