
Mahu jejakkan kaki ke Makkah secara percuma dalam usia muda dan masih penuh bertenaga? Ada, namun bagaimanakah caranya?
Dua anak muda yang masing-masing baru berusia 21 tahun, Ean dan Aishah ada jawapannya. Caranya adalah dengan menyambung pelajaran dengan mengambil Diploma Pengurusan Haji dan Umrah, sekali gus menjadi mutawwif dan mutawifah.
Ean atau nama sebenarnya, Muhammad Aries Sofean Mohd Nor memilih pengajian berkenaan kerana minat selain menyifatkan pekerjaan sebagai seorang mutawwif adalah kerjaya yang mulia.
Ean yang merupakan pelajar kumpulan pertama pengajian tersebut di YEG Academy (M) Sdn. Bhd. (YEG Academy) berkata, pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan adalah menjalani latihan praktikal selama tiga bulan di Makkah dan Madinah.

“Tempoh pengajian adalah dua tahun setengah. Tempoh dua tahun hanya belajar teori selebihnya praktikal di sana. Saya masih ingat, saya merupakan pelajar pertama yang dihantar ke Makkah pada Februari 2022.
“Waktu itu, sempadan negara baru sahaja di buka selepas pandemik Covid-19. Perasaan ketika itu saya tidak boleh gambarkan kerana tidak tahu keadaan di sana; dan ada atau tidak pekerjaan di tanah air selepas menjalani praktikal di sana memandangkan keadaan pasaran industri haji umrah yang tidak menentu akibat penularan wabak berkenaan di seluruh dunia.
“Namun alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Sepanjang tiga bulan saya merasai sendiri realiti pekerjaan seorang mutawwif, ada manis dan pahitnya,” ujarnya.
Menurut Ean lagi, pengalaman paling berharga adalah dia dapat menimba ilmu pengurusan jemaah, pengangkutan, penginapan dan ilmu sirah Nabawiah dalam dalam tempoh tiga bulan di Makkah dan Madinah).

Selepas menjalani praktikal, Ean lalu bertekad untuk bekerja sebagai seorang mutawwif dan selepas hanya 15 hari menamatkan latihan praktikal, anak muda ini terus ditawarkan pekerjaan tetap syarikat pengendali pakej ibadah haji dan umrah ternama, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia Travel).
“Biasanya kita dengar keluhan graduan yang sukar dapat kerja selepas tamat belajar, tetapi saya bersyukur Allah SWT beri rezeki untuk saya terus mendapat pekerjaan pada usia 21 tahun.
“Cuma saya ingin pesan kepada mereka yang bercita-cita untuk menjadi mutwawif, jangan melihat pada gaji lumayan semata-mata, sebaliknya lihatlah pada kemuliaan dan keberkatan yang diperoleh menerusi pekerjaan ini.
“Bagi saya, perkara yang sangat mahal ialah saya dapat bekerja dan beribadah serentak. Sambil bekerja dapat mengumpul pahala,” tutur Ean yang sudah setahun bekerja secara tetap sebagai Pegawai Haramain dan Pemasaran di Andalusia Travel.

Sementara itu, Aishah atau nama penuhnya Syaidatul Aishah Jusoh, seorang lagi graduan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah dari YEG Academy berkata, dia memilih bidang ini kerana dari kecil bercita-cita untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci.
Namun, dalam pemikirannya cita-cita berkenaan hanya dapat dicapai ketika berusia emas kerana dia sedar akan kos tinggi yang diperlukan untuk menjalani ibadah umrah mahupun haji.
“Rezeki saya mendapat biasiswa daripada YEG Academy. Kesemua kos pengajian sehingga praktikal semua ditanggung tanpa saya perlu keluarkan wang sesen pun.
“Ketika pertama kali melihat Kaabah sebagai seorang jemaah dan pelajar praktikal, saya tidak tahu hendak gambarkan perasaan seronok, sebak dan sedih semuanya ada.

“Sebelum itu saya memang tidak pernah sampai ke Makkah dan Madinah, tetapi menerusi pengajian ini, saya berpeluang ke sana secara percuma,” kongsi anak kelahiran Kelantan ini.
Selepas ditawarkan pekerjaan tetap pada hari terakhir menjalani latihan praktikal, niatnya hanya satu, hanya ingin menjadi orang tengah yang memudahkan orang ramai melakukan ibadah umrah mahupun haji.
“Dengan bekerja sebagai mutawifah yang membimbing jemaah wanita, saya memperoleh gaji, pengalaman, ilmu, manfaat dan paling penting pahala,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/7/2023




















