Saluran busuk jejas keindahan pantai Teluk Kemang

Pantai Teluk Kemang
- Advertisement -

PORT DICKSON: Saluran air longkang dari darat yang dilepaskan ke laut menimbulkan ketidakselesaan kepada pengunjung yang datang untuk mandi-manda di Pantai Teluk Kemang di sini.

Menurut pengusaha perkhidmatan sewa pelampung, Abdullah Abu, 68, air yang dilepaskan berbau busuk dan kehitaman.

- Advertisement -

“Saya harap kerajaan dapat melakukan sesuatu. Bila bau busuk dan air hitam, pelancong yang datang pun jadi tak selesa nak mandi.

“Yang saya tahu, air itu adalah dari longkang besar di luar sana yang dibuang ke laut,” ujarnya.

Katanya, pada masa ini pengunjung juga semakin berkurangan menyebabkan berlaku sedikit kemerosotan kepada perniagaan.

“Saya komplen bukan nak menghentam kerajaan. Saya tak ada niat nak hentam kerajaan. Kita nak perbaiki tempat kita. Apabila kita perbaiki, pelancong akan datang ramai,” ujarnya.

Tinjauan Harakahdaily turut mendapati terdapat keretakan pada struktur saluran berkenaan.

Abdullah turut meluahkan rasa kesal kerana banyak tong sampah yang rosak, selain saiz kecil yang sering kali tidak dapat menampung sampah yang dibuang pengunjung.

“Penyelenggaraan di sini kena dipertingkatkan. Pokok-pokok di sini kena selenggara dengan lebih baik. Nanti takut ada dahan yang patah atau pokok tumbang hempap kereta, susah nanti.

Keadaan longkang yang mempunyai keretakan
Abdullah menunjukkan longkang berhampiran Pantai Teluk Kemang

“Hari itu pun ada budak jatuh longkang sebab masalah penutup longkang. Saya rasa wakil rakyat kena ambil berat,” katanya.

Beliau juga melihat terdapat penyediaan kemudahan dan pembangunan infrastruktur yang tidak sekata antara pantai-pantai sepanjang Port Dickson.

“Saya tengok macam Pantai Batu 4 cantik (infrastruktur) berbanding Pantai Teluk Kemang ni. Macam ada pilih kasih,” katanya.

Selain itu, beliau mendedahkan masalah yang dihadapi oleh peniaga di situ yang menghadapi kesukaran untuk mendapat lesen perniagaan dari Majlis Perbandaran Port Dickson.

“Mereka yang berniaga mesti ada lesen. Kebanyakan yang berniaga tak ada lesen. Bila kita pergi majlis perbandaran mohon lesen, mereka kata lesen dibekukan. Apa sebabnya?” soalnya.

Tambah beliau, jika struktur gerai yang sedia ada tidak memuaskan hati majlis perbandaran menjadi punca lesen sukar dikeluarkan, majlis perbandaran boleh membina sendiri gerai tersebut mengikuti spesifikasi mereka. – HARAKAHDAILY 6/7/2023

- Advertisement -