Pemimpin Umno yang kini tidak lagi perjuangkan Melayu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umno kini diterajui oleh para pemimpin yang bukan lagi memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu sebagaimana tujuan asal parti itu ditubuhkan dahulu.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pemimpin Umno kini adalah mereka yang memikirkan mengenai kepentingan dirinya dan tanpa mempedulikan hal ehwal Melayu.

Menurutnya, kerana itulah para pemimpin tersebut menolak bersama PAS dan BERSATU dalam PERIKATAN NASIONAL (PN), tetapi pergi kepada Pakatan Harapan (PH) disebabkan mahu menyelamatkan diri.

“Kalau dia bawa Umno untuk perjuangkan agama dan bangsa, dia tak akan pergi ke PH, dia akan mari bersama kita (PN). Dia kata tak percaya ke BERSATU sebab nak mampuskan dia kononnya. Habis, dia gi ke PH, mereka itu nak perhidupkan dia?” bidasnya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Umno juga telah dimusnahkan oleh para pemimpin yang sedemikian itu apabila turut bertindak menyingkir atau memecat pemimpin-pemimpin lain.

Keadaan tersebut jelasnya, terjadi kerana mereka itu mahu memastikan Umno berada dalam keadaan baik, namun ianya bercanggah dengan kepentingan yang dipunyai oleh sebahagian lain.

Oleh itu Umno ujarnya, perlu dikalahkan pada PRN nanti dan ahli-ahli Umno diseru berpindah dahulu ke rumah lain sementara ‘rumah Umno’ yang akan roboh itu dibina pulihkan semula nanti.

Beliau juga menempelak dusta besar dibuat pemimpin Umno hingga sanggup bersumpah menyebut ‘Wallahi, wabillahi, watallahi’, tetapi melanggar dan mengkhianati.

Peringat beliau, nama tuhan bukan sebutan untuk dijadikan mainan dan kerana itulah segala yang diperkatakan oleh pemimpin itu sukar untuk dipercayai dan tidak patut diyakini. – HARAKAHDAILY 5/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -