
KUALA LUMPUR: Islam yang menjadi dasar perjuangan dan pemerintahan kerajaan oleh PAS menjamin perlindungan keselamatan dan menjaga kepentingan semua termasuk kaum bukan-Melayu.
Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah mengakui, PAS sememangnya mementingkan Islam kerana agama lebih besar dari bangsa dan bersifat untuk seluruh kaum yang ada.
Tegasnya, kemuliaan dan nilai tinggi sesuatu bangsa di sisi Allah SWT hanyalah takwa dan tiada masyarakat majmuk yang akan dapat hidup dengan aman dan selamat melainkan Islam menaungi.
Beliau mengimbau peristiwa hitam negara iaitu tragedi 13 Mei 1969 di mana disebabkan sentimen pelampau kaum ada orang Melayu dan Cina terbunuh dan darurat terpaksa diisytiharkan di negeri-negeri diperintah Umno.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, sebaliknya pada tarikh sama kejadian rusuhan ekstrem tersebut tidak berlaku di negeri diperintah PAS yang berpegang kepada dasar Islam.
Bahkan menurut Dato’ Amar, kerana dasar Islam itulah Kerajaan PAS menjaga kepentingan tanah air antaranya menjaga Tanah Rizab Melayu di mana Kelantan menunjukkan contoh terbaik.
Untuk rekod, Tanah Rizab Melayu telah diwartakan di negeri itu adalah meliputi lebih 90 peratus dan ia berada dalam pemilikan rakyatnya hasil komitmen Kerajaan Negeri Kelantan memeliharanya.
Beliau turut menegaskan betapa Islam dipegang PAS menjadi sebab keadilan diberikan kepada semua kaum dan agama, sebagaimana ditunjukkan di Kelantan di mana wujud patung Buddha terbesar dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring.
“Kalau kita (PAS) ni ganas, kita ni tak jaga hak orang bukan-Islam, kita putus dah. Tapi kita langsung tak usik atau sentuh sebab itu hak dia. Dalam kawasan dia, dalam kampung dia biarlah ke dianya nak cara (hidup) dia,” jelas beliau.
Ceritanya, pendirian PAS terhadap kaum bukan-Melayu dalam pemerintahan negara pernah ditanya Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew ketika mengunjungi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat suatu ketika dahulu.
Katanya, Almarhum menjelaskan kepada mendiang bahawa PAS akan melayan kaum bukan-Islam sebagaimana dilakukan di Kelantan dan Kuan Yew berpuas hati dengan jawapan Tuan Guru.
Kerana menurut ADUN Panchor itu, Kuan Yew sendiri telah menyaksikan secara nyata dan mendapatkan maklumat mengenai keadaan kehidupan masyarakat bukan-Melayu di negeri tersebut selama beberapa hari berkunjung ke sana.
Beliau turut memberitahu bahawa di Kota Bharu wujud premis menjual daging babi yang sama sekali tidak pernah diganggu, selain Kerajaan Kelantan juga pernah memberi biasiswa untuk pengajian tinggi anak Kelantan bukan-Melayu. – HARAKAHDAILY 5/7/2023











