
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kewangan dilihat masih tiada hasrat menghentikan aktiviti perjudian kerana ia memberikan hasil berbilion ringgit setahun kepada perbendaharaan negara.
Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ia berbeza ketegasan diambil kerajaan diterajui PAS di Kelantan, Terengganu, Kedah dan terbaharu di Perlis yang tidak menyambung lesen premis judi.
Menurut beliau, kerajaan negeri tiada kuasa terhadap judi kerana lesen judi adalah kuasa Kerajaan Persekutuan, namun judi disekat kerajaan negeri-negeri tersebut menerusi peruntukan kuasa ke atas permit premis.
“Jadi bila PAS pegang kuasa politik, kita boleh guna kuasa ni untuk menghalang benda yang bercanggah dengan Islam. Judi ni tak ada agama terima, kalau kita baca dan kita mengaji agama-agama ni tak ada yang setuju dengan judi.
“Semua agama tolak judi sebab judi ni kesan dia buruknya setaraf dengan arak. Quran sendiri Tuhan letak sekali judi dengan arak. Tuhan kata judi arak ni benda tidak elok dan kerja syaitan.
“Judi ni walaupun hasil (pendapatan) besar, tapi daripada kajian yang dibuat, kesan buruknya lebih besar daripada hasil yang kerajaan dapat. Kesan nak baiki kerosakan akibat judi tak padan dengan hasil yang dapat,” ujarnya.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu menjelaskan, judi menimpakan kesan buruk yakni menyebabkan masalah sosial, rumah tangga bahkan jenayah menyebabkan kerajaan menghabiskan wang lebih besar dari pendapatan hasil judi.
Bekas Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ceritanya, apabila menyekat aktiviti judi di negeri itu, beliau didatangi ramai wanita kaum Cina mengucapkan terima kasih atas hal itu.
Kerana adu mereka, apabila suami terlibat aktiviti judi dan menghabiskan wang ke arah itu, rumah tangga menjadi kelam kabut di mana keluarga terabai termasuk anak isteri menjadi mangsa kekerasan.
“Sebab itulah Tok Guru Nik Aziz kata siapa yang undi PAS dia boleh pahala kerana bila diberi kuasa politik kepada PAS, dengan kuasa inilah PAS boleh melaksanakan agama setakat bidang kuasa yang ada pada kita.
“Kalau kita tak ada kuasa politik ni kita boleh bercakap saja judi haram, tapi tak dapat sekat dengan tindakan,” ujarnya menegaskan bahawa PAS sejak awal ditubuhkan lagi telah meletakkan dasar Islam dalam Perlembagaan PAS.
Jelasnya, matlamat perjuangan PAS ialah Islam dengan menjadikan Quran, hadis, ijmak dan qiyas sebagai rujukan, serta cita-cita politik PAS ialah mewujudkan masyarakat dan pemerintahan melaksanakan ajaran dan prinsip Islam. – HARAKAHDAILY 5/7/2023











