
WASHINGTON: Amerika Syarikat akan menguji langkah bagi membenarkan rakyat Palestin-Amerika memasuki Israel untuk ke Palestin bermula bulan Julai ini, di tengah-tengah persediaan untuk memasukkan Israel ke dalam Program Pengecualian Visa AS (VWP).
Israel telah memenuhi beberapa syarat untuk kemasukan ke VWP, namun ia masih menyekat akses kepada rakyat AS berketurunan Palestin, lapor Reuters, memetik kenyataan pegawai kerajaan yang tidak dinamakan itu sebagai berkata, AS memerlukan Israel untuk menunjukkan akses timbal balik untuk semua rakyat Amerika di sempadannya dan ke Tebing Barat yang diduduki.
Pada Ahad (25 Jun) lalu, Menteri Luar Israel, Eli Cohen memberitahu Ynet TV bahawa ‘program perintis’ akan dilancarkan pada bulan Julai ini untuk membantu mengekalkan pencalonan VWP Israel di landasan yang betul.
Seorang pegawai yang tidak dinamakan memberitahu Reuters bahawa tempoh percubaan itu akan berlangsung antara 30 hingga 45 hari, yang akan menyaksikan pegawai kerajaan AS memantau perjalanan warga Palestin-Amerika melalui Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv dan di pusat pemeriksaan Tebing Barat.
“Warga Palestin-Amerika yang berpangkalan di AS dan mereka yang tinggal di Tebing Barat juga akan dimasukkan dalam program tersebut,” ujar kenyataan itu.
Terdahulu, Israel telah dituduh menafikan kemasukan dan menyoal siasat rakyat Palestin, warga termasuk Palestin-Amerika di Lapangan Terbang Ben Gurion.
Menurut Yayasan Institut Arab Amerika, terdapat antara 122,500 dan 220,000 rakyat Amerika berketurunan Palestin.
Seorang warga Palestin-Amerika mengembara ke Tebing Barat melalui Jordan, Osama Abdel Aziz berkata, dia berharap dapat mengambil laluan yang dekat untuk ke Palestin pada masa hadapan.
Dalam kunjungan terbaharu saya ke Palestin, ujar Osama kepada The New Arab, pihak berkuasa Israel tidak menimbulkannya banyak masalah tetapi membuatkan dia terpaksa menunggu di sempadan selama 15 jam.
“Adalah lebih mudah untuk melalui Lapangan Terbang Ben Gurion daripada pergi ke Amman, Jordan kemudian jambatan Allenby untuk ke Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/6/2023




















