
Penghakiman oleh YA Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril pada 27 Jun 2023 @ 3.45 pm
HAKIM menggunakan prinsip kepentingan bersama (common interest) [rujukan kes – ALI AMBERAN] dalam menentukan takrifan ejen kepada calon. Seseorang calon yang diberi mandat oleh parti, mewakili parti dan membawa maklamat parti untuk menang. Justeru semua pimpinan kawasan yang menaungi parti dianggap memiliki common interest – dengan itu semua pimpinan kawasan telah diputuskan sebagai ejen kepada responden.
Agen – SP11 [YB Tengku Hassan], SP12 [YB Wan Sukairi], SP13 [YB Dr Khalil], SP14 [YB Ahmad Shah], SP15 [Dr Balachandran] dan SD2 [Alghazali] adalah pimpinan PAS Kawasan KT yang bersama dengan responden [selaku TYDP]. Menggunakan prinsip common interest, maka Hakim memutuskan bahawa ahli-ahli parti PAS yang terlibat [YB-YB Exco yang pegang jawatan dalam PAS KT] adalah dikategorikan sebagai ejen kepada responden. Oleh itu semua sogokan-sogokan yang berlaku dalam kes ini bukan melibatkan ahli biasa tetapi melibatkan ahli parti yang memegang jawatan di dalam PAS kawasan, dan mempunyai common interest dengan responden.
Bagi dakwaan sogokan di Pasti Al-Huda, Kuala Ibai, Gong Tok Nasek – watak wanita berpurdah, lelaki berkopiah yang memakai jaket logo PAS, wanita bertudung labuh – identiti tidak dibuktikan dan terlalu kabur. Walaupun ada penerimaan wang, tapi identiti ejen tidak dibuktikan. Dakwaan sogokan ini ditolak.
Penjamuan Majlis Makan Malam Deepavali di Hotel Sumai – Hakim memutuskan bahawa terdapat penjamuan, terdapat pemberian wang kepada pengundi berdaftar, yang dibuat bagi tujuan meraih undi, dan perbuatan ini dibuat dalam pengetahuan responden kerana responden hadir dan turut berucap serta berkempen dalam majlis tersebut. SP15 (Dr Bala) diputuskan sebagai ejen kepada responden dalam majlis penjamuan tersebut.
Bagi 6 Program i-Belia dan i-Siswa – Hakim telah memutuskan semua YB-YB Exco dan Timbalan Exco adalah ejen kepada responden, dan membuat dapatan bahawa dalam semua majlis-majlis tersebut telah berlaku pemberian wang berjumlah RM150.00 seorang (bantuan one-off Kerajaan Terengganu), terdapat ucapan kempen oleh YB-YB yang merasmikan majlis, jadi jelas ia bertujuan untuk meraih undi kepada responden.
Hakim memutuskan bahawa walaupun majlis rasmi dan program rasmi itu adalah sah – namun perbuatan menghulurkan wang semasa tempoh kempen tersebut adalah disifatkan sebagai bertujuan untuk meraih undi. Pemberian oleh kerajaan tak salah, namun ia menjadi salah apabila dilakukan dalam tempoh kempen pilihan raya.
Hakim melontarkan kritikan keras – kenapa responden hadir dalam program-program itu sedangkan responden tiada jawatan dalam Kerajaan Terengganu, berucap dan berkempen, ucapan semua YB bertujuan meraih undi, kenapa diletakkan syarat pengundi berdaftar dan kenapa dibayar dalam tempoh kempen sedangkan banyak masa lain masih ada termasuk boleh dibayar selepas kempen.
Tiada bukti penjamuan Majlis Deepavali adalah acara tahunan Kerajaan Terengganu.
Ekoran dari dapatan-dapatan ini, sebagaimana yang diperlukan di bawah seksyen 36(1) Akta 5, “saya mengisytiharkan di bawah Seksyen 36(2) Akta 5 bahawa PRU bagi bahagian Parlimen Kuala Terengganu P.036 pada 19.11.2022 sebagai TIDAK SAH dan TERBATAL.
“Saya akan perakukan keputusan petisyen ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya… bahawa perbuatan rasuah telah berlaku dengan pengetahuan responden dengan tujuan untuk mempengaruhi pengundi untuk mengundi. Saya berhenti kat situ saya tak nak kata lebih dari itu.”
“Laporan saya kepada SPR tidak akan menamakan sesiapa (yang melakukan sogokan) walau pun terdapat kesalahan pilihan raya”.
Catatan dan olahan semula oleh:
WAN ROHIMI WAN DAUD
Pengerusi LUHAM
28 Jun 2023 @ 9.00am – HARAKAHDAILY 28/6/2023




















