‘Lawak Lim Guan Eng ni, apa orang kata semua salah’

Exco Kerajaan Kedah, Dato' Wan Romani Wan Salim menyerahkan kunci dan dokumen kenderaan rasmi kerajaan kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Dato' Seri Norizan Khazali dan disaksikan Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Lim Guan Eng dinasihatkan mempelajari dan memahami bahasa Melayu sebelum menuduh atau bercakap tidak betul berkenaan orang lain.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Constantinople yang dirujuknya kepada Pulau Pinang merupakan metafora (kiasan) serta seni dalam pengucapan.

“Constantinople tu metafora (kiasan). Constantinople pun tak ada dah. Yang ada sekarang, Istanbul.

“Saya pun tak faham justifikasi apa yang dia (Guan Eng) buat. Walaupun tinggal berpuluh tahun di Malaysia, bahasa Melayu pun tak faham,” tegasnya.

Kata beliau, suatu ketika dahulu Pengerusi Kebangsaan DAP itu pernah memetaforakan dirinya sebagai Khalifah Umar Abd Aziz.

Pada waktu itu, tambahnya tiada siapapun berkata perkara itu salah walhal, khalifah tersebut beragama Islam.

“Khalifah Umar Abd Aziz adalah cucu Saidina Umar Al-Khatab yang dikenali paling garang.

“Kenapa boleh ambil metafora tu. Dia bukan Islam. Umar Abd Aziz Khalifah Islam. Tapi tak dak siapapun kata apa. Seronok dan sokong pula,” ujarnya lagi.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika ditemui selepas majlis serahan kunci kenderaan rasmi Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bagan itu menyifatkan ucapan Menteri Besar menggalakkan keganasan apabila menyamakan Pulau Pinang dengan Constantinople.

Muhammad Sanusi dalam ucapannya pada malam Kedah Berselawat Sabtu lalu, mengkiaskan Pulau Pinang sebagai Constantinople dan rakyat Kedah seperti Muhammad Al-Fateh.

Namun, katanya Constantinople bukan diambil secara kekerasan sebaliknya iltizam dan kesungguhan yang padu.

“Lawak Lim Guan Eng ni, apa yang orang buat atau kata semua salah. Semuanya mengancam dan membahayakan negara. Kalau apa yang dia buat menjaga keselamatan negara,” katanya lagi.

Tambah beliau, walaupun kononnya pemimpin DAP itu pernah memetaforakan dirinya sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz tetapi apa yang dilakukan bercanggah dengan ciri-ciri khalifah Islam.

“Nak ikut Islam. Akhirnya yang kita dengar, kes terowong, beli banglo dan lain-lain. Khalifah Islam apa macam tu? Perlu sokong lagikah?” soal beliau lagi. – HARAKAHDAILY 28/6/2023

- Advertisement -