
KUALA LUMPUR: “Pihak kami bersetuju dan bersedia untuk membawa perkara (kes) ini sehingga ke mahkamah bagi mendapatkan keabsahan syarat dan garis panduan yang disyaratkan untuk mendapat kelulusan (pendaftaran) kepada pihak sekolah (sekolah-sekolah Islam persendirian atau SIP di Selangor).”
Itu kenyataan terbaharu secara bersama daripada Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS), Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (IGuru), dan Pertubuhan Pencinta Ulamak (Geng Ustaz) selepas meneliti kenyataan Exco Agama Selangor, sebagai respons terhadap isu kebimbangan lebih 20,000 pelajar terancam tempat pendidikan di negeri Selangor.
Ia adalah susulan sidang pertemuan NGO-NGO Islam tersebut berkaitan tersebut di Shah Alam, Selangor, semalam.(Sekolah agama Islam di Selangor didenda PBT, RM10,000)
Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, persetujuan daripada pertemuan NGO-NGO itu juga dicapai untuk memohon mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi menjelaskan perkara yang sebenarnya berlaku kepada Baginda sebagai ketua agama Islam negeri Selangor.
“Sewajarnya semua pihak yang berkepentingan perlu duduk di meja rundingan bagi menyelesaikan isu ini dengan baik demi kepentingan pembangunan pendidikan islam di negeri Selangor,” katanya.
Kenyataan exco agama Selangor ‘tak jelas’
Beliau berkata demikian susulan kenyataan media exco agama Selangor sebelum ini yang disifatkan sebagai ‘tidak jelas’.
“Kami merasakan bahawa kenyataan media exco agama Selangor tersebut tidak memberikan apa-apa jawapan yang jelas bagi membantu menyelesaikan masalah yang sedang berlaku kepada pihak Sekolah Islam Persendirian (SIP) di negeri ini.
“Sewajarnya Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang tampil memberikan penjelasan terhadap isu yang berlaku,” jelasnya.

Menurut beliau, garis panduan permohonan Kelulusan Merancang yang dikeluarkan telah memberi kesukaran yang melampau dengan syarat yang sangat sukar untuk dipenuhi serta keperluan bagi melantik konsultan dengan bayaran fee yang tinggi.
“Sehubungan itu, kami memohon agar satu pertemuan khas diadakan bagi membincangkan perkara tersebut dengan pihak berkusa tempatan (PBT) yang terlibat; dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjadi peneraju dan pemudah cara.
“Kami mohon agar kerajaan negeri dan institusi yang terkait seperti PBT, bomba dan kesihatan dapat memahami apa yang sedang berlaku dan dapat membantu melancarkan dan mempermudahkan proses permohonan pihak sekolah dengan telus, cekap dan lancar,” kata Mohd Zai.
Mohon kebenaran khas untuk UPKK, PSRA
Beliau juga berkata, pihaknya mencadangkan agar pihak JAIS memberi kebenaran khas kepada sekolah agar murid dapat mengambil peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) sepanjang dalam tempoh menunggu kelulusan proses permohonan pendaftaran semula SIP terbabit.
“Kami juga memohon agar segala bantuan seperti one off, penyelenggaraan dan bantuan awal persekolahan ini dapat segera disalurkan kepada murid-murid (SIP terbabit) semasa proses permohonan masih berjalan,” katanya.
Terdahulu, merujuk kepada laporan media tempatan, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menafikan berlaku proses pemutihan sekolah agama persendirian dan tahfiz di Selangor ketika ini sebagai langkah menutup institusi berkenaan.
Beliau sebaliknya berkata, tuduhan itu sebaliknya adalah cubaan untuk memburukkan usaha murni kerajaan Selangor dalam mengangkat kualiti dan taraf SIP di negeri ini.
“Semua usaha sedang dilakukan kerajaan negeri disalah tafsir sesetengah pihak sebagai cubaan untuk menghentikan usaha dakwah di Selangor.
Garis panduan pemutihan sekolah agama persendirian
Mohd Zawawi berkata, kerajaan Selangor turut menafikan tuduhan terhadap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, sebagai dalang yang cuba menutup tahfiz persendirian di Selangor.
“Langkah proaktif ini dijalankan sejak 2019 bagi menyediakan garis panduan pemutihan sekolah agama (tahfiz) persendirian.
“Garis panduan dibangunkan kerajaan negeri diluluskan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor pada 21 Disember 2020 dan mula dikuatkuasakan 1 Januari 2021.
“Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari juga mengarahkan sebuah Jawatankuasa Pasukan Petugas ditubuhkan bagi membantu menyelaras proses pemutihan semua sekolah agama persendirian (SIP) di Selangor,” katanya sebagaimana dilaporkan dalam akhbar Berita Harian pada 16 Jun 2023 yang bertajuk, Selangor nafi langkah pemutihan bertujuan tutup sekolah agama, tahfiz.
Dalam laporan berita itu, Mohd Zawawi yang mempengerusikan jawatankuasa berkenaan juga berkata, semua sekolah agama telah diberi tempoh masa dua tahun untuk memenuhi syarat ditetapkan.
“Namun 416 sekolah memohon tempoh masa dilanjutkan dan kami memperuntukkan tambahan tiga tahun bagi program pemutihan berkenaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2023




















