Sekolah agama Islam di Selangor didenda PBT RM10,000

Nik Noor Azlida (dua dari kanan) dan Mohd Zai (tengah) dalam sidang media NGO-NGO Islam berkaitan Kebimbangan lebih 20,000 Pelajar Terancam Akibat Hilang Tempat Pendidikan di Negeri Selangor, di Shah Alam, Selangor pada hari ini, 21 Jun 2023 (HARAKAHDAILY/Aisamuddin Yusri)
- Advertisement -

SHAH ALAM: Tindakan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) semakin membebankan pengurusan Sekolah-sekolah Islam Persendirian (SIP) di Selangor, sehingga ada antara sekolah terbabit telah dikenakan sehingga RM10,000.

Pengerusi Persatuan Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS), Dr Nik Noor Azlida Datuk Hussain berkata, tindakan PBT mengenakan tindakan denda sehingga RM10,000 memberi kesan buruk kepada kewangan SIP.

“Hakikatnya, matlamat utama SIP bukanlah meraih keuntungan semata-mata tetapi tindakan PBT membuat demikian bukan sahaja menganggu dari segi kewangan, malah menyebabkan SIP tidak layak mendapat bantuan kewangan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa realiti sebenar SIP sebagai pusat pendidikan tidak mengaut keuntungan yang besar tetapi masih meneruskan pengajaran agama Islam kepada murid-murid atas dasar belas kasihan.

- Advertisement -

Nik Noor Azlida berkata demikian dalam sidang media NGO-NGO Islam berkaitan Kebimbangan lebih 20,000 Pelajar Terancam Akibat Hilang Tempat Pendidikan di Negeri Selangor, di sini, hari ini, susulan isu yang diutarakan oleh Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) kepada HarakahDaily baru-baru ini. (20,000 pelajar Islam terancam hilang tempat belajar di Selangor)

Turut hadir ialah Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa yang mempengerusikan sidang media tersebut; mantan ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan; wakil-wakil NGO lain termasuk Exco Pertubuhan Pencinta Ulamak (Geng Ustaz), Ustaz Sapidin Amran; Yang DiPertua Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Fairul Nafadzli, serta Peguambela dan Peguamcara dari Tetuan Azam Aziz & Co, Khairul Azam Abdul Aziz dan tidak ketinggalan wakil beberapa SIP terbabit.

Menurut Nik Noor Azlida lagi, terdapat dua hingga tiga buah SIP terbabit terpaksa membuat bisnes katering semata-mata untuk menampung kos-kos perbelanjaan sedia ada.

“Kalau ikutkan, sekolah (SIP) sendiri pun tak mampu membayar sewa bangunan, fasiliti dan lain-lain dan banyak bergantung kepada bantuan-bantuan kewangan,” jelasnya..

Tambah beliau, SIP tidak lagi mendapat bantuan kewangan bukan sahaja disebabkan oleh lesennya tidak diperbaharui oleh PBT malah juga hasil daripada tindakan-tindakan saman tersebut.

“Dengan bantuan-bantuan kewangan inilah yang banyak diperlukan oleh SIP bagi menampung kos-kos sedia ada.

“Namun, apabila PBT mengenakan syarat-syarat seperti pemasangan kekili hos (hose reel) yang jelas menelan kos yang banyak; dan tidak boleh diaadakan sekolah di dalam bangunan sewa kedai dalam pembaharuan lesen sedia ada, ini adalah sesuatu yang tidak wajar,” katanya.

Sekolah-sekolah Islam Persendirian (SIP) di beberapa PBT di Selangor kini menghadapi beberapa sekatan dan tekanan untuk mendapat kelulusan bagi pendaftaran sebagai pusat pendidikan.

Beliau menyatakan perkara sebegini telah menimbulkan suasana panik dalam kalangan pengusaha-pengusaha SIP akibat daripada sekatan-sekatan  tersebut.

“Saya telah berjumpa dengan pengerusi Majlis Agama Islam (MAIS) mengenai isu ini tetapi tidak ada solusi yang ditawarkan oleh pihak berkenaan,” katanya.

“Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik supaya tidak memberi kesan kepada pelajar-pelajar sekolah tersebut yang bakal menduduki peperiksaan seperti Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA),” katanya.

Terdahulu, HarakahDaily (Isu pendaftaran SIP: Tak kesampaian jumpa MB Selangor) melaporkan bahawa apa yang menimbulkan polemik ialah ketika ini pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor khususnya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dilihat seperti memberi tekanan kepada pihak SIP terbabit untuk mendapat kelulusan bagi pendaftaran. 

Laporan itu juga menyebut bahawa Majlis Tertinggi GASIS melalui Pengerusinya, Dr. Nik Noor Azlida Datuk Hussain telah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung isu tersebut, malah, usaha untuk berbincang dan memanjangkan kebimbangan ini ke peringkat Exco Agama Negeri Selangor masih tidak menemui hasil. 

Begitu juga hasrat untuk bertemu Menteri Besar Negeri Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) juga tidak kesampaian. – HARAKAHDAILY 21/6/2023

- Advertisement -