Isu pendaftaran SIP: Tak kesampaian jumpa MB Selangor

Nor Zarina Mohd Azhar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usaha untuk menyelesaikan isu Sekolah-sekolah Islam Persendirian (SIP) di Selangor yang menghadapi kesukaran proses pendaftaran masih menemui jalan buntu, malah hasrat untuk bertemu Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari belum kesampaian.

Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Isu Pendaftaran Sekolah Islam Persendirian Selangor di bawah Persatuan Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS), Ustazah Nor Zarina Mohd Azhar berkata, sebelum ini, Majlis Tertinggi GASIS melalui Pengerusinya, Dr. Nik Noor Azlida Datuk Hussain telah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung isu tersebut.

“Malah, usaha untuk berbincang dan memanjangkan kebimbangan ini ke peringkat Exco Agama Negeri Selangor masih tidak menemui hasil. Begitu juga hasrat untuk bertemu Menteri Besar Negeri Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) juga tidak kesampaian,” katanya.

- Advertisement -

Menurut beliau, apa yang menimbulkan polemik ialah ketika ini pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor khususnya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dilihat seperti memberi tekanan kepada pihak sekolah-sekolah (SIP) terbabit untuk mendapat kelulusan bagi pendaftaran. 

“Sebanyak 55 buah sekolah (SIP) yang pendaftaran masing-masing akan tamat menjelang 31 Disember 2023, telah memaklumkan (kepada GASIS) mengalami kebimbangan akan perkara ini (masalah kesukaran proses pendaftaran),” katanya kepada HarakahDaily pada hari ini, 20 Jun 2023.

Tambah beliau, antara tindakan berupa tekanan oleh PBT ialah sekolah-sekolah (SIP) terbabit diarahkan ditutup atas alasan tidak boleh beroperasi di lot-lot kedai. 

“Pengurusan permohonan sekolah kepada pihak PBT mestilah melalui atau melantik konsultan yang diiktiraf yang mana kosnya menelan belanja ribuan, malah puluhan ribu ringgit. 

“Terdapat juga beberapa buah sekolah yang telah mendapat saman dari pihak PBT kerana  (dikatakan) beroperasi tanpa kelulusan,” kongsinya.

Peranan GASIS

Menjelaskan peranan GASIS dan bagaimana ia terkait dengan isu ini, beliau berkata, ia adalah persatuan yang berdaftar dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta diiktiraf kewujudannya oleh JAIS.

“GASIS berperanan mengumpulkan Sekolah-sekolah Islam Persendirian (SIP) atau pun ada yang mengenalinya sebagai sekolah swasta dalam satu bumbung persatuan. 

“Matlamatnya adalah mewujudkan kebersamaan sekolah-sekolah ini dalam usaha mencapai kemenjadian murid, pendidik dan sekolah,” ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor.

Keahlian GASIS ketika ini, menurut Nor Zarina adalah sebanyak 171 buah sekolah, yang  terdiri daripada 73 Sekolah Rendah Islam (SRI), 75 Sekolah Rendah Islam Integrasi (SRII), 17 Sekolah Menengah Islam (SMI) dan 5 sekolah yang dikategorikan sebagai ‘lain-lain’; dengan  bilangan keseluruhan murid ialah 30,819 orang manakala guru seramai 2,479 orang.

“Antara peranan lain ialah GASIS menjadi pemudahcara kepada pihak Bahagian Pendidikan Islam (BPI) JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) khususnya PAID Petaling untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan pendaftaran sekolah, pendaftaran peperiksaan, bantuan persekolahan, kursus, taklimat dan sebagainya.

“Sekolah-sekolah berdaftar sebagai ahli GASIS pada beberapa tahun yang lalu dan lebih ketara pada tahun 2022 dan 2023 telah memaklumkan bahawa terdapat kesukaran dalam proses pendaftaran,” katanya. 

Kesan gagal mendaftar terhadap SIP

Menurut beliau, pendaftaran sekolah atau lesen operasi sekolah yang dikeluarkan oleh JAIS adalah penting membuktikan sesebuah sekolah itu wujud, mematuhi terma pendaftaran dan operasi pengurusan sekolah dipantau oleh JAIS.

“JAIS memerlukan syarat kelulusan operasi dari tiga agensi iaitu pihak bomba, pihak kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengeluarkan sijil pendaftaran kepada sesebuah sekolah. 

“Syarat-syarat yang dikenakan oleh tiga agensi tersebut sebelum ini adalah mudah dan senang untuk dipatuhi oleh sekolah-sekolah dan proses pendaftaran menjadi lebih cepat,” katanya.

Menjelaskan tentang kesan dari pendaftaran yang gagal ataupun sekolah diarahkan tutup, kata Nor Zarina, adalah pelajar atau murid-murid SIP tidak dibenarkan mengambil Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA), khususnya tahun 5 dan tahun 6. 

“Bukan itu sahaja, apa yang lebih membimbangkan imalah murid tahun 1 sehingga tahun 4 perlu mencari sekolah yang lain. 

“Antara isu lain yang terkait pula, adakah sekolah sedia ada mampu dan dapat menampung lambakan murid dari sekolah-sekolah yang ditutup ini. 

Ia juga membimbangkan dan menyukarkan ibu bapa yang telah memberi kepercayaan dan keyakinan serta keselesaan kepada anak-anak mereka bersekolah di Sekolah-sekolah Islam Persendirian atau SIP ini,” jelasnya.

Bukan konten politik PRN 

Melalui Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) pula, tambah Nor Zarina, pihak GASIS telah memaklumkan bahawa tiada kesukaran dihadapi SIP di negeri-negeri lain sepertimana yang dialami SIP Selangor pada ketika ini.

“Justeru saya berpandangan bahawa isu ini bukanlah sengaja dibangkitkan sebagai konten dalam politik untuk menghadapi PRN Negeri Selangor tidak lama lagi. 

“GASIS telah berusaha segala cara untuk membantu sekolah-sekolah dibawah keahliannya agar urusan pendaftaran mesti diperbaharui dan dipatuhi,” katanya.

Namun usaha itu, ujar beliau, tidak berjaya menyelesaikan isu pendaftaran sekolah malah menjadi tekanan sehingga sekolah diarahkan tutup sama ada secara bersurat ataupun lisan serta telah menanggung kos yang besar untuk bayaran konsultan, baik pulih dan saman.

“Justeru, saya menyeru kepada semua pihak yang terbabit dalam proses pendaftaran sekolah, agar dapat berbincang semula secara harmoni dan budi bicara tanpa mengenepikan aspek keselamatan. 

“Saya yakin, semua pihak termasuk pengusaha sekolah mengutamakan aspek keselamatan dalam menjalankan operasi persekolahan secara harian. 

“Janganlah dengan mudah mengakhirkan usaha-usaha pembangunan anak bangsa melayu dan pembangunan melahirkan murid generasi murabbi melalui Sekolah-sekolah Islam Persendirian (SIP) ini dengan membatalkan operasi sekolahnya ataupun diarahkan tutup. Ia tidak menyelesaikan masalah, malah menimbulkan masalah yang lain pula,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2023

- Advertisement -