‘Pemilihan bukan hanya berlandaskan demografik etnik’

Nushi Mahfodz dalam Majlis Pengumuman Calon Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor pada malam tadi, 25 April 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemilihan Khairul Azhari Saut bukan hanya berlandaskan demografi etnik tetapi merangkumi faktor-faktor lain seperti peribadi dan wibawa calon, maklumbalas dari komuniti setempat serta perkembangan politik semasa.

Timbalan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Selangor, Ustaz Nushi Mahfodz berkata, sebagai anak jati Hulu Selangor, keakraban Khairul Azhari dengan masyarakat serta rekod cemerlangnya sebagai pengurus syarikat dan Ahli Majlis menunjukkan potensinya untuk menjadi wakil rakyat yang efektif.

- Advertisement -

Nushi mengulas pemilihan Khairul Azhari sebagai calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) menjelang 11 Mei ini, yang mana esok, 27 April adalah hari penamaan calon.

“Dengan rahmat dan izin dari Allah SWT, saya diberi kepercayaan untuk membaca doa pada Majlis Pengumuman Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor malam tadi.

“Mudah-mudahan pilihan raya yang akan berlangsung pada 7 Mei (undi awal) dan 11 Mei 2024 nanti akan mencatat sejarah baharu dalam politik negeri ini apabila kerusi yang selama ini dipegang oleh DAP berpindah ke tangan Perikatan Nasional (PN), biiznillah.

“Semoga Allah SWT memudahkan urusan semua pengundi dan membuka hati para pengundi untuk memberi kepercayaan kepada sahabat kita, Khairul Azhari Saut yang mewakili PN bagi menjadi wakil rakyat mereka yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau memohon agar didoakan PRK ini membuka pintu ke arah masa depan yang lebih cerah, adil, dan sejahtera bagi rakyat marhaen yang kecewa dengan pembaharuan institusi yang tidak berlaku serta kenaikan kos sara hidup yang terlalu menekan termasuk harga beras tempatan, kenaikan cukai, bil utiliti dan lain-lain.

“Ironinya, di tengah-tengah kesulitan ekonomi, kita menyaksikan fenomena yang sungguh aneh – lampu isyarat di jalan raya juga boleh dipotong bekalan elektrik kerana tidak membayar bil elektrik.

“Ini mencerminkan kegagalan pengurusan kerajaan dalam mengurus tadbir negeri dan negara dan hanya menambah beban rakyat,” jelasnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih.

Tambah Nushi, mudah-mudahan PRK KKB ini menjadi memorandum rakyat menolak politik intimidasi dan kegagalan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Mudah-mudahkan, dengan rahmat Allah SWT, berkat doa dan amal soleh kita, diangkat beban dan kesusahan-kesusahan yang Allah SWT timpakan kepada kita semua saat ini.

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah SWT hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

“Sebagaimana surah Ar Rum 30 : 41, yang bermaksud, “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang kebaikan yang Engkau berikan,” kongsi beliau. – HARAKAHDAILY 26/4/2024

- Advertisement -