‘Janganlah dinamakan Kasino Madani’ – Fadhli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kasino meliputi projek pembangunan bernilai RM480 bilion dijangka bakal diwujudkan di Forest City, Iskandar Puteri yang sebelum ini berdepan kemelut menjadi gajah putih, demikian lapor Bloomberg.

- Advertisement -

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dikatakan telah bertemu dengan taikun-taikun industri tersebut dalam satu mesyuarat makan tengah hari pada minggu lalu, menurut laporan yang memetik daripada satu sumber itu.

Pengasas Berjaya Corp, Tan Sri Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay telah dinyatakan dalam pertemuan yang turut disertai wakil beberapa pihak itu, kata laporan tersebut.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari ketika diminta mengulas laporan Bloomberg nyata terkejut untuk usaha pembangunan sektor perjudian sebesar itu mahu diwujudkan di bawah pentadbiran kerajaan pimpinan Anwar.

“Manakala yang difitnah menerima dana judi ialah Perikatan Nasional. Sampai ke hari ini dakwaan itu gagal dibuktikan walaupun dengan penuh yakin penuturnya berkata, ‘Saya ada bukti, jangan cabar saya!’.

“Kasino ini nanti janganlah dinamakan Kasino Madani pula, sekadar mengingatkan,” ujarnya sinis ‘memulangkan paku buah keras’ atas tuduhan tidak berasas pernah dilemparkan pihak tersebut sebelum ini.

Menurut laporan yang dipetik meluas media-media tempatan itu, perbincangan mengenai projek untuk penubuhan pusat perjudian kedua terbesar selepas Genting Highlands berkenaan masih dalam peringkat awal.

Latarbelakang diberi dalam laporan juga menyatakan, Forest City pada mulanya dirancang sebagai projek pembangunan kediaman bersepadu di mana pembinaan dimulakan pada 2006 melibatkan konsortium pemaju hartanah China.

Visi besar projek itu menurut portal tersebut, adalah untuk mewujudkan kawasan perbandaran mewah kepada rakyat yang kaya daripada China di mana diramal akan menarik pelaburan dan kekayaan dari republik itu.

Ia dinyata akan mewujudkan sebuah bandar moden baharu yang didirikan di empat pulau buatan manusia di Selat Johor bersebelahan Singapura dengan pulau pertama dirancang sebagai zon perindustrian berteknologi tinggi. 

Diikuti oleh pulau kedua, sebagai daerah pusat perniagaan dan zon pelancongan, manakala pulau ketiga sepatutnya menjadi daerah kewangan dan ekonomi, sementara pulau keempat adalah sebagai persidangan dan forum. 

“Keseluruhan pembangunan itu sepatutnya siap menjelang 2035. Bagaimanapun, projek itu menghadapi masalah pada 2018 apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan bahawa warga asing tidak akan diberikan visa untuk tinggal di Forest City. 

“Selanjutnya, kawalan mata wang yang diperkenalkan oleh Presiden China, Xi Jinping pada 2019 secara drastik menyekat bakal pelanggan dan serangan pandemik COVID-19 memberi tamparan hebat kepada projek berkenaan.

“Hari ini, projek Forest City, yang digelar ‘bandar dalam laut’, adalah ibarat bandar hantu. Projek kasino, sekiranya menjadi kenyataan, akan menjadi lesen kasino kedua negara diberikan kerajaan dan memberi rangsangan sangat diperlukan ‘bandar hantu’ itu,” lapor Bloomberg. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

- Advertisement -