‘Malaysia hadapi kerajaan yang tekan, deritakan rakyat’

Faiz Rahmad ketika membuat ucapan di Majlis Misi 4-0 Jentera Pemuda Perikatan Nasional Selangor di Kuala Selangor pada malam tadi. (HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

HULU SELANGOR: Malaysia sedang menghadapi sebuah kerajaan yang benar-benar menekan dan memberi penderitaan kepada rakyat dari segala bentuk.

Setiausaha Armada BERSATU Malaysia, Faiz Rahmad berkata, tiada barangan yang harganya turun di negara ini sekarang, sebaliknya semua telah naik harga.

- Advertisement -

“Dulu dia kata kalau Perikatan Nasional (PN) naik, harga barang naik. Tetapi di akhirnya, siapa yang naikkan semua perkara ini?”

“Mereka atau kita? Boleh percaya ke mereka ini tuan-tuan?” soalnya ketika membuat ucapan di Majlis Misi 4-0 Jentera Pemuda Perikatan Nasional Selangor di sini, malam tadi.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Ketua Pemuda PN, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden; Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Azmin Ali; Ketua Srikandi Muda BERSATU Malaysia, Fadzilah Kamaluddin; dan Pengarah Jentera Pemuda PRK KKB, Muhammad Hilman Idham

Oleh yang demikian, menurutnya, bahu dan harapan rakyat seluruh Malaysia bergantung kepada signal yang akan diberikan pengundi-pengundi di Kuala Kubu Bharu (KKB) menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) bulan depan.

“Kalau kita lihat perkara ini sebagai remeh, kalau kita lihat KKB ini satu PRK yang tidak memberi apa-apa impak, ternyata tuan-tuan salah,” tegasnya.

Menurutnya lagi, isu barang sentiasa menjadi pilihan utama beliau kerana ianya menyentuh kepada semua pihak dan tidak berfokus kepada satu kelompok sahaja.

“Harga barangan ini menyentuh semua masyarakat tanpa mengira kaum. Orang Cina beli barang, orang Melayu beli barang, orang India pun beli barang.”

“Jika kita biarkan, orang-orang miskin dan fakir yang akan paling terkesan,” hujahnya.

Tambah Faiz, jika begini cara pemerintahan kerajaan, negara Malaysia akan berada di dalam keadaan yang bahaya.

“Kononnya formula bertimbun-timbun, akhirnya apa pun tiada,” katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi; Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Azmin Ali; Ketua Srikandi Muda BERSATU Malaysia, Fadzilah Kamaluddin dan Pengarah Jentera Pemuda PRK KKB, Hilman Idham. – HARAKAHDAILY 25/4/2024