HANDAL medan saluran maklumat tepat kerajaan negeri

Hanafi Zulkafli
- Advertisement -

SHAH ALAM: Pertubuhan Himpunan Anak Kedah Darul Aman Di Perantauan (HANDAL) boleh menjadi medan saluran penyampaian maklumat tepat berkenaan kerajaan negeri.

Pengerusinya, Hanafi Zulkafli berkata, HANDAL diwujudkan atas pandangan serta kehendak banyak pihak terutamanya anak-anak perantauan negeri itu dikumpulkan.

- Advertisement -

“Peringkat awal ini, HANDAL menyasarkan keahlian di Lembah Klang dan Negeri Sembilan terlebih dahulu sebelum diperluaskan keanggotaannya ke negeri-negeri lain,” jelas beliau.

Hanafi ditemui Harakahdaily sempena Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar Kedah bersama anak-anak perantauan Kedah, di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, semalam.

Setakat ini, HANDAL katanya sudah mempunyai 1,000 keahlian walaupun baharu ditubuhkan tahun ini, justeru beliau yakin keanggotaannya akan bertambah selepas ini.

“HANDAL boleh dianggotai tanpa mengira umur, sama ada anak Kedah yang menetap di luar Kedah mahupun yang bekerja di luar Kedah,” tambah beliau lagi.

Pada majlis itu, HANDAL disempurnakan pelancarannya oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan mengekseskan Kod QR NGO tersebut sebagai gimik perasmian.

Justeru Hanafi mengharapkan agar matlamat pertubuhan itu dapat dijayakan sebaiknya dan membuahkan kejayaan. – HARAKAHDAILY 2/5/2024

- Advertisement -