DAP akan kembali laksana agendanya apabila kuat

- Advertisement -

HULU SELANGOR: DAP tidak mustahil membangkitkan kembali perkara-perkara sensitif yang akan parti tersebut laksanakan menerusi kerajaan, iaitu apabila mereka memiliki kedudukan kuat dalam politik negara.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man sehubungan itu mengingatkan bahawa PRK N.06 DUN Kuala Kubu Bharu sangat penting untuk menjadi isyarat awal mencegah rancangan-rancangan DAP.

Parti itu katanya, masih lagi memperjuangkan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan dan agenda Malaysian Malaysia serta negara sekular yang tidak pernah digugurkan ataupun ditarik balik walaupun bercanggah dengan konsep negara hari ini.

Beliau mengimbas kehendak DAP mahu mengadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan semasa era Pakatan Rakyat bersama PAS dan PKR ketika itu, namun perkara tersebut tidak dipersetujui dan ditolak oleh PAS.

“Tapi kerana (perlukan) keseimbangan dalam Kerajaan Madanon sekarang ini, menyebabkan perkara sensitif mereka (DAP) tangguh dulu, bukan mereka batal. Bila mereka rasa kuat, tidak mustahil isu ini akan dibangkit balik dan mereka laksana,” ujarnya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian tersebut turut menjelaskan mengenai PAS yang dahulu bersama DAP, namun kemudiannya tidak lagi bersama parti itu adalah kerana berpegang teguh kepada pendirian dasar masing-masing.

Sebaliknya Umno yang sebelum ini menentang kuat DAP, malah DAP juga melawan kuat Umno dengan saling menyerang satu sama lain, tetapi kini telah bersama untuk memenuhi agenda-agenda politik mereka.

“Sebab itu agenda-agenda macam ini kita kena faham. Politik ni melihat ke depan, apa yang sepuluh tahun, dua puluh tahun akan datang. Hari ini kita bicarakan di sini, bukan untuk kita hari ini, tapi untuk generasi akan datang. Untuk anak, cucu kita masa akan datang.

“Negara ini perlu diwarisi generasi yang benar-benar cintakan keharmonian perpaduan dan sebagainya. Sebab itu kita kena sekat benda-benda yang boleh mendatangkan perkara yang boleh mengundang nilai yang tidak baik,” ujarnya.

Beliau turut mengemukakan secara perbandingan mengenai situasi yang berlaku dalam negara ketika ini di mana ianya tidak ditangani secara adil melibatkan Menteri Besar Selangor dan Menteri Besar Perlis.

Katanya, terdapat dua laporan polis dibuat berhubung syarikat di mana Dato’ Seri Amirudin Shari memiliki nama sebagai Ahli Lembaga Pengarah, telah memperolehi tanah seluas 100.4 ekar daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan).

Sehubungan itu tegasnya, pelbagai pihak meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara tersebut, bukan sebaliknya segera bertindak apabila melibatkan dakwaan ke atas pihak pembangkang.

Ustaz Tuan Ibrahim menyebut tindakan yang dibuat ke atas Menteri Besar Perlis dengan diuar-uar dilakukan oleh anaknya, serta laporan berita pemimpin itu ditahan, sedangkan dia hadir dipanggil memberi keterangan.

“Bagi kita berita-berita macam ni berita yang sensasi. Kita tegaskan, kita tidak akan menghalang mana-mana siasatan dibuat dan Menteri Besar Perlis beri kenyataan, dia buka pejabat 25 jam sehari semalam untuk siasat.

“Kita terbuka. Tapi bila check balik apakah betul laporan itu? Jangan kita hukum sesuatu sebelum sepatutnya. Sebab itu saya sebut tadi kes (Amirudin) ini kita minta SPRM siasatkan dua kali laporan telah pun dibuat. Kenapa tak siasat?

“Kita nak negara kita bukan menjadi negara yang akhirnya kita sebar berita persepsi mendahului mahkamah,” ujarnya kesal dengan perkara tersebut. – HARAKAHDAILY 3/4/2024

- Advertisement -
- Advertisement -