Lima murid SRITI antara 38 pelajar terbaik UPKK Melaka

Norfaizal Nordin
- Advertisement -

AYER KEROH: Lima murid daripada Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) adalah antara 38 murid cemerlang Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) seluruh Negeri Melaka.

Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Melaka, Ustaz Norfaizal Nordin memaklumkan, kesemua lima murid tersebut adalah daripada SRITI An-Najah, di sini.

- Advertisement -

“Jika kita lihat pada pengumuman oleh Exco Pendidikan Negeri Melaka baru-baru ini seramai 38 pelajar telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik seluruh Melaka.

“Daripada 38 orang itu, lima adalah pelajar SRITI An-Najah. Itu yang membanggakan kita dan membuktikan bahawa institusi pendidikan kita berkualiti walau pun serba kekurangan,” ujarnya.

Tambahnya, pada UPKK yang diumumkan baru-baru ini juga, seramai 97 murid SRITI seluruh Melaka menduduki ujian ini dan daripada 97 itu seramai 27 orang telah berjaya mendapat keputusan 8A.

“Daripada 27 orang ini seramai 24 adalah daripada SRITI An-Najah di Parlimen Hang Tuah Jaya, manakala tiga lagi daripada SRITI At-Taqwa Parlimen Alor Gajah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily usai program Himpunan Pendidik Dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Dewan Pemuda PAS Melaka yang berlangsung di sebuah dewan di sini, semalam.

Tambah beliau untuk UPKK tahun 2023 hanya dua SRITI terlibat iaitu SRITI An-Najah dan At-Taqwa kerana dua lagi iaitu SRITI Harun Ar Rashid (Masjid Tanah) dan SRITI Al Fattah (Tangga Batu) murid-muridnya belum memasuki darjah lima.

“Insya-Allah dengan perkembangan peratusnya yang begitu baik dan tinggi untuk kali ini, harapan kita pada tahun hadapan ni mensasarkan 40 orang untuk pencapaian UPKK,” ujarnya.

Program tersebut telah dirasmikan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar bertujuan untuk meraikan guru-guru dan pelajar-pelajar PASTI, SRITI dan SMITI dari seluruh Melaka yang menunjukkan pencapaian cemerlang.

Turut hadir ialah Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Zulhilmi Suboh dan pimpinan majlis guru-guru PASTI, SRITI dan SMITI. – HARAKAHDAILY 2/5/2024

- Advertisement -