AMAL by Malaysia Airlines hargai Andalusia

Muhammad Najmi Mansor. (Foto: HARAKAHDAILY/Haziq Aiman)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan penerbangan umrah dan haji, AMAL by Malaysia Airlines (AMAL) memperuntukkan 30,000 tempat duduk kepada pihak agensi pengendali pakej haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. bagi musim 1446H (2024/2025M).

Ketua Pegawai Operasi AMAL by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor berkata, jumlah itu merangkumi 13 peratus daripada jumlah keseluruhan yang diberikan pihaknya kepada kesemua rakan strategik pengendali umrah dan haji AMAL.

- Advertisement -

“Keutamaan kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan terbaik bagi keselesaan, keprihatinan supaya para jemaah dapat memberikan perhatian sepenuhnya kepada ibadah mereka,”

“AMAL by Malaysia Airlines akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, bukan sahaja kepada para jemaah, tetapi juga untuk urusan dengan agensi umrah terutamanya rakan strategik kami seperti Andalusia.

“Saya amat menghargai usaha-usaha daripada Andalusia yang sentiasa dan menitikberatkan reputasi. Ini adalah salah satu faktor utama kenapa AMAL sentiasa mengutamakan permintaan daripada Andalusia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara AMAL by Malaysia Airlines dan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd di sini, hari ini.

Turut hadiri Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia,Ida Riswana Idris; Ketua Pembangunan Perniagaan AMAL, Roslan Ismail; dan Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah.

Dalam pada itu, Muhammad Najmi berkata, pihaknya telah melancarkan AMAL Portal, satu platform untuk memudahkan proses penempahan dan penjualan tiket, serta kemudahan data centre di mana kesemua maklumat di simpan dalam satu tempat.

“Ini juga memudahkan kita semua untuk membuat rujukan dan juga untuk melihat prestasi kita dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Bagi memudahkan rakan strategik AMAL mempromosikan pakej umrah, beliau turut memaklumkan pihaknya telah melancarkan laman sesawang iflyamal.com sebagai satu kemudahan dan saluran baharu, di samping aplikasi AMAL Mobile yang akan dilancarkan dalam masa enam bulan lagi.

“Kami harap usaha-usaha ini bukan sahaja memudahkan AMAL dan agensi-agensi umrah, malah dapat menarik lebih banyak lagi permintaan untuk umrah terutamanya untuk pakej-pakej yang ditawarkan oleh rakan strategik kami.

“Perjanjian hari ini adalah dengan matlamat untuk bekerjasama, AMAL komited untuk memajukan sektor umrah,” katanya. -HARAKAHDAILY 16/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!