Rusia, China bergabung isytihar penentangan terhadap Amerika 

Vladimir Putin dan Xi Jinping bertukar dokumen dalam majlis menandatangani perjanjian selepas perbincangan mereka di Beijing, China pada 16 Mei 2024. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

BEIJING/MOSCOW: Rusia dan China telah menandatangani satu kenyataan bersama mengenai ‘era baharu’ yang mengisytiharkan penentangan terhadap Amerika Syarikat (AS) dalam pelbagai isu keselamatan serantai; dan kerjasama dalam cabang baharu teknologi nuklear dan kewangan harmoni sejagat.

Kedua-dua negara yang merupakan pesaing terkuat AS di peringkat global kini berkongsi pandangan mengenai segala-galanya dari soal Taiwan dan Ukraine hinggalah Korea Utara  hasil pertemuan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden China, Xi Jinping pada Khamis (16 Mei) yang merujuk AS sebagai dalang yang selama ini telah menyemai huru-hara di seluruh dunia.

- Advertisement -

Xi, 70,menyambut Putin, 71, di atas permaidani merah di luar Dewan Besar Rakyat di Beijing, di mana mereka disambut dengan perarakan Tentera Pembebasan Rakyat, tabik hormat 21 laras di Dataran Tiananmen dan kumpulan kanak-kanak mengibarkan bendera China dan Rusia.

Terdahulu, China dan Rusia mengisytiharkan perkongsian ‘tiada had’ pada Februari 2022 apabila Putin melawat Beijing.

“Hubungan China-Rusia hari ini adalah hasil susah payah, dan kedua-dua pihak perlu menghargai dan memupuknya,” kata Xi kepada Putin, lapor Reuters.

“China bersedia untuk… bersama-sama mencapai pembangunan dan peremajaan negara masing-masing, dan bekerjasama untuk menegakkan keadilan di dunia,” tambahnya.

Rusia, melancarkan perang terhadap tentera Ukraine yang disokong  Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO); dan China, di bawah tekanan daripada usaha bersepadu AS untuk menentang kekuatan ketenteraan dan ekonominya yang semakin meningkat.

Xi telah memberitahu Putin bahawa kedua-dua negara mempunyai peluang untuk memacu perubahan yang tidak pernah dilihat dunia dalam satu abad ini, yang dilihat ramai penganalisis sebagai percubaan untuk mencabar pemerintahan global yang diketuai  AS.

Kerajaan kedua-dua mereka menolak penghinaan yang dirasakan akibat kejatuhan Soviet 1991 dan berabad-abad penguasaan kolonial Eropah di China, telah berusaha untuk menggambarkan Barat sebagai dekaden dan merosot, dengan China mencabar ketuanan AS dalam segala hal daripada pengkomputeran kuantum dan biologi sintetik kepada pengintipan dan kuasa tentera yang keras.

Namun, China dan Rusia menghadapi cabaran mereka sendiri, termasuk ekonomi China yang semakin perlahan; dengan  NATO yang semakin berani bertindak berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Terdahulu, Washington meletakkan China sebagai pesaing terbesarnya, dan Rusia sebagai ancaman negara bangsa terbesarnya.

AS memandang kedua-duanya sebagai pemerintah autoritarian yang telah membatalkan kebebasan bersuara dan menggunakan kawalan ketat di negara sendiri ke atas media dan mahkamah. 

Joe Biden sebelum ini merujuk kepada Xi sebagai ‘diktator’ dan berkata Putin adalah ‘pembunuh’, yang mana Beijing dan Moscow telah mengecami Biden kerana komen itu; sedangkan realitinya satu dunia kini mengutuk dan melabelkan Presiden AS itu sebagai ‘pengganas sebenar’ atas tindakannya memberikan sokongan ketenteraan kepada Zionis Israel untuk melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023 sehingga kini. -Agensi– HARAKAHDAILY 17/5/2024

- Advertisement -