Lelaki maut nahas 3 lori: Trafik terhenti 13km

Kemalangan membabitkan tiga buah lori di Kilometer 367 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, dekat Slim River, pada awal pagi hari ini, 17 Mei 2024.
- Advertisement -

TANJUNG MALIM: Seorang pemandu lori yang membawa muatan telur maut apabila kenderaannya terlibat dalam kemalangan dengan dua buah lori muatan buah-buahan di Kilometer 367 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, dekat Slim River, awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Muallim, Superitendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu dari arah Sungkai menghala ke Slim River kira-kira jam 5.45 pagi. 

- Advertisement -

“Sebuah lori telah merintangi jalan dan semua lorong terhalang sehingga menyebabkan aliran trafik terhenti sepanjang 13 kilometer.

“Sehubungan itu, pengguna jalan raya yang menggunakan laluan tersebut dinasihatkan untuk keluar ke tol Tapah, Bidor atau Sungkai sebagai laluan alternatif bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan laluan lintas semasa kerja pembersihan dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan bantuan BBP Bidor telah digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 4.40 pagi tadi. 

Tambah beliau, setibanya di sana, pihaknya mendapati kemalangan melibatkan tiga buah lori iaitu lori muatan telur ayam serta dua buah lagi lori muatan buah-buahan.

“Ketiga-tiga lori ini telah berlanggar dan terbalik merintangi dan menghalang sepenuhnya laluan di lebuh raya berkenaan.

Menurut beliau, seorang mangsa tersepit dalam lori muatan telur ayam dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi kejadian, manakala dua lagi pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -