Isu sebahagian saham MAHB dijual kepada syarikat pro-Zionis

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sudah terbukti kerajaan masih bertekad menjual sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada sebuah syarikat yang pro-Zionis.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, sebelum ini beliau pernah bertanya kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sama ada berlakunya perkara tersebut.

- Advertisement -

“Saya bertanya dalam Dewan Rakyat pada 11 Mac yang lalu mengenai perkara tersebut tetapi beliau hanya menjawab berita tersebut hanya spekulasi semata-mata dan tidak perlu tuduh tanpa bukti,” katanya.

Menurut beliau dalam akaun Facebooknya, syarikat pro-Zionis tersebut ialah BlackRock yang merupakan sebuah syarikat pengurusan pelaburan global Amerika yang berpusat di New York City.

Tambah beliau, dikatakan bahawa penjualan sebahagian saham MAHB kepada BlackRock adalah melalui Global Infrastructures Partners (GIP) tetapi perkara tersebut dinafikan oleh Anthony Loke pada ketika itu.

“Namun begitu, apa yang berlaku semalam ialah ada keluarnya berita yang mana sebarang penjualan saham MAHB dihentikan buat sementara waktu oleh Bursa Malaysia.

“Melalui perkara ini kita tahu, Khazanah Nasional Bhd yang sebelum ini berkata akan jual sebahagian saham MAHB ini kepada GIP yang ada kaitan dengan BlackRock.

“Jadi siapa yang menipu dalam Dewan Rakyat selama hari ini ya?” soalnya.

Beliau menyatakan, rakyat boleh melihat sendiri pendirian kerajaan mengenai isu Palestin itu sendiri.

Ini kerana kata beliau, kerajaan menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin itu sendiri tetapi pada masa sama memberikan sebahagian pegangan saham MAHB kepada syarikat BlackRock yang pro-Zionis.

“Penjualan tersebut telah sah dilakukan semalam padahal sebelum ini dalam Dewan Rakyat kata itu hanya berita palsu.

“Sebelum ini kerajaan sendiri yang menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin tetapi di belakang tadbir, lain pula perkara yang dibuat.

“Kerajaan mesti bertanggungjawab mengenai isu penjualan sebahagian pegangan saham MAHB kepada GIP yang dikuasai Blackrock ini,” katanya.

Syarikat BlackRock ditubuhkan pada 1988 dan kini merupakan antara syarikat pengurusan pelaburan yang terbesar di dunia.

Syarikat ini dimiliki oleh keluarga yahudi yang mana Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Larry Fink tetapi pada masa yang sama banyak terlibat dalam skandal kewangan dan bersifat monopoli dalam melakukan sebarang aktiviti pelaburan.

Sifat sebegitu membolehkan BlackRock menguasai ekonomi bukan sahaja di Amerika Syarikat tetapi juga di peringkat global serta aktif dalam melakukan kegiatan pelaburan di negara haram Israel. – HARAKAHDAILY 16/5/2024

- Advertisement -