Pembangkang disekat hantar kek kepada cikgu

Tangkap layar dari Facebook milik Idris Ahmad yang menyatakan bahawa ingin beri kek tanda penghargaan kepada guru disekat.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris menyatakan rasa sedih apabila beliau ingin menghantar kek penghargaan di sekolah kerajaan disekat oleh pengurusan.

“Guru luas maknanya. Bukan setakat guru sekolah sahaja, tetapi guru itu adalah penyuluh masa depan. Hargailah guru. Jangan disekat-sekat penghargaan kepada guru kita.

- Advertisement -

“Waima untuk dihantar kek ke sekolah sebagai tanda penghargaan, janganlah dianggap menceroboh kerana masyarakat menganggap guru itu imam dalam pelbagai urusan duniawi dan ukhrawi,” katanya menerusi kenyataan, tadi.

Oleh demikian, katanya, penghantaran kek penghargaan diteruskan kepada guru silat, guru Al-Quran, guru pondok, madrasah, guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), guru kitab masjid surau dan lain-lain yang mempunyai anak murid.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, pimpinan dari pembangkang turut tidak dibenarkan masuk ke sekolah dalam apa jua jenis program ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Jelas beliau yang juga Ketua Penerangan Bersatu, berkata setelah BN tumbang pada 2018, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi (PM) untuk kali kedua telah menyerahkan budi bicara kepada Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk jemput sesiapa yang mereka bersetuju termasuk pembangkang.

“Malah, perkara tersebut juga diteruskan oleh bekas Perdana Menteri ke-8 dan ke-9, antaranya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Tapi apabila Kerajaan Madani yang berjuang ‘reformasi bagai-bagai’, maka arahan oleh penguasa supaya tidak membenarkan pembangkang masuk ke sekolah waima hantar kek penghargaan sempena Hari Guru.

“Kenapa begitu? Apa nak jadi bangsa Madani!” katanya lagi.

Sementara itu, perkara ini turut dikongsikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad melalui Facebook milik beliau.

“Selamat Hari Guru. Ucap dalam Facebook sahaja. Hendak jumpa dan hantar kek tidak boleh. Dilarang keras. Madani ala Badwi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/5/2024

- Advertisement -