Diberi RM5 bilion, tetapi bukannya untuk Sanusi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Peruntukan RM5 bilion diluluskan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bukanlah kepada Kerajaan Negeri Kedah, tetapi untuk infrastruktur projek pertanian di negeri ini, demikian jelas Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Menurut beliau, peruntukan itu antaranya untuk pembangunan Jeniang Transfer Fasa 2 dan pengambilan tanah bagi terowong menyalurkan air dari Sungai Muda ke kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Pendang.

“Saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri, tetapi peruntukan itu bukan untuk kerajaan negeri tetapi pembangunan infrastruktur projek pertanian khususnya di bawah Kerajaan Persekutuan,” katanya di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Jelas Sanusi, peruntukan itu juga untuk pembinaan empangan Naok yang dirancang sejak 20 tahun lalu, termasuk bagi membangunkan parit gila pengairan baharu supaya membolehkan tanaman padi lima kali dua tahun di negeri ini.

“Kawasan yang boleh ditanam padi lima kali dua tahun setakat ini hanyalah seluas 2,400 hektar sahaja, di mana pengairannya ‘direct’ (terus) dari terusan, hat (yang) lain semuanya melalui Parit Gila. Jadi untuk membangunkan yang baharu ini peruntukannya besar.

“Ini projek Kerajaan Persekutuan bukan kerajaan negeri. Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan tu sebab nak padi, bukan nak kayakan kerajaan negeri. Padi (beras) diperlukan oleh semua rakyat Malaysia bukan rakyat Kedah sahaja,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut secara sinis membalas dakwaan pihak-pihak yang menganggap kononnya peruntukan RM5 bilion itu diberikan untuk ‘Sanusi’, ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri tersebut.

“Orang yang kata tu dia tidak membaca. Kayalah saya kalau dapat RM5 bilion tu. Bukan lagu tu pakcik. Mudah sangat, ‘simple’ sangat pemikiran dia. Kena baca banyak sikit ni,” bidas beliau. – HARAKAHDAILY 15/5/2024