‘Blackout’ sewaktu ceramah PN satu sabotaj?

- Advertisement -

HULU SELANGOR: Kejadian bekalan elektrik terputus atau pun ‘blackout’ yang berlaku sewaktu ceramah kempen PERIKATAN NASIONAL (PN) pada PRK N.06 DUN Kuala Kubu Bharu menimbulkan persoalan kemungkinan ia perbuatan sabotaj.

- Advertisement -

Pengurus Kempen PN Unit Daerah Mengundi (UDM) Ampang Pecah, Abu Khalipah Mohd Solleh berkata, kejadian yang berlaku di UDM itu telah menyebabkan aktiviti kempen tersebut terganggu.

“Tengah-tengah ceramah yang kemuncak pada hari ini berlakunya ‘blackout’. Tak pernah berlaku selama hari ini. Mungkinkah ia dilakukan pihak tertentu untuk mensabotaj program pada hari ini?

“Sebab kalau kita lihat program ceramah kita malam ini, sambutan ini hari ini cukup luar luar jangka. Kehadiran sekitar dalam 100 lebih orang,” ujarnya kepada Harakahdaily usai program ceramah tersebut yang berlangsung di Kampung Kelapa, di sini, malam tadi.

Beliau menzahirkan kesyukuran kerana sesi penerangan itu dapat diselesaikan semua penceramah di mana kejadian tersebut berlaku sewaktu kemuncak iaitu ketika penceramah terakhir oleh Ketua Penerangan BERSATU, Dato’ Razali Idris.

Namun, tambah Abu Khalipah, dua penceramah lagi iaitu ADUN Kuala Kurau, Dato’ Abdul Yunus Jamahri dan Ketua Penerangan PN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tidak dapat hadir atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan.

Mengulas perkembangan di UDM tersebut, beliau optimis dengan petunjuk-petunjuk positif yang dipamerkan para pengundi di kawasan itu sepanjang kempen berlangsung.

“Kami pasukan negeri bantu dari Kelantan. Kita membantu di sini untuk memenangkan PN. Alhamdulillah sambutan cukup baik sepanjang kita datang sini.

“Sambutan yang kita lihat dari kempen rumah ke rumah dan hasil kajian lapangan kita dapati bahawa sokongan cukup baik,” ujarnya.

Beritahunya, dari reaksi didapati, para pengundi sudah merasa bosan dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kerana banyak kemelut isu tidak dapat ditangani, melainkan sekadar retorik dan janji kosong. – HARAKAHDAILY 4/5/2024

- Advertisement -