PN Melaka giat bantu menangkan calon PRK KKB

Dr Mohd Yadzil Yaakub
- Advertisement -

AYER KEROH: PERIKATAN NASIONAL Negeri Melaka sedang menggiatkan usaha membantu memenangkan calon parti itu dalam PRK N.06 DUN Kuala Kubu Bharu (KKB).

Pengerusinya, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, pihaknya telah dan akan menghantar jentera sokongan dari negeri itu bagi membantu kempen PRK tersebut.

- Advertisement -

“Kami akan menyusun gerak kerja yang teratur dan ‘targeted’. Kami akan pastikan semua pengundi yang menyokong PN keluar mengundi semaksimum mungkin.

“Itu adalah faktor kemenangan kami. Kami akan cuba melengkapi sebaik mungkin gerak kerja jentera tempatan yang ada,” katanya kepada HarakahDaily hari ini.

ADUN Bemban itu turut menzahirkan optimistiknya terhadap peluang PERIKATAN NASIONAL untuk menang yang disifatkannha sangat cerah atas banyak faktor.

Antaranya, jelas beliau, ialah faktor calon; rekod cemerlang PN pada PRU dan PRN lepas serta sentimen kemarahan rakyat terhadap kerajaan yang ‘arrogant’ sekarang menjadi faktor kemenangan PN pada PRK itu.

“Selain faktor calon, ‘jeneral perang’ kita dipimpin oleh sosok yang sangat berpengalaman serta sangat arif tentang KKB dan Selangor, iaitu Datuk Seri (Mohamed) Azmin Ali.

“Sokongan calon Melayu yang semakin meningkat dalam rekod pilihan raya yang lepas serta kehadiran MIPP bersama PN membuatkan sokongan kepada PN semakin kuat menjadikan PN adalah parti pilihan rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai percubaan jentera PH-BN untuk merosakan imej calon PN kononnya memiliki ijazah Sarjana palsu, beliau berpandangan bahawa usaha itu ‘gagal teruk’ dan memakan diri mereka sendiri.

“Ini adalah stretegi perang. Calon akan menjadi target utama. Sebab itu PN sentiasa menitikberatkan latar belakang calon yang akan bertanding.

“PN akan pastikan calon adalah yang terbaik dari yang terbaik, berintegriti, bersih dan sangat prihatin dan disenangi rakyat, ‘winnable candidate’,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru agar jentera PERIKATAN NASIONAL Melaka supaya sentiasa bekerja keras dalam membantu jentera tempatan di KKB.

“Jangan menyerah sebelum kalah. Sentiasa yakin kemenangan bakal milik PERIKATAN NASIONAL. Biar apa pun rintangan dan halangan yang ada jangan pernah mengalah.

“Jangan berhenti untuk terus bekerja sehingga ke saat terakhir kotak undi ditutup. Kuala Kubu kita bangkit!” ujarnya bersemangat.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Calon PERIKATAN NASIONAL dari BERSATU, Khairul Azhari Saut akan ditentang oleh calon PH dari DAP, Pang Sock Tao; Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin dan seorang calon Bebas, Nyau Ke Xin dalam persaingan empat penjuru. – HARAKAHDAILY 2/5/2024

- Advertisement -