Andalusia, Malaysia Airlines tandatangani kontrak RM100 juta

Ida Riswana (tiga dari kiri) dan Muhammad Najmi selepas selesai menandatangani MoU antara Andalusia bersama AMAL bagi musim umrah 1446. (Foto: HARAKAHDAILY/Haziq Aiman)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) telah menandatangani kontrak bernilai RM100 juta dengan AMAL by Malaysia Airlines bagi pembelian minima 30,000 tempat duduk bagi musim umrah tahun 1446H (2024/2025).

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, dalam memorandum persefahaman (Mou) yang ditandatangani kedua-dua syarikat itu telah memeterai kontrak bagi 77 penerbangan kapal penuh FBS (dengan kapasiti 283 tempat duduk) dan 76 penerbangan SBS (kapasiti 90 tempat duduk) setiap penerbangan.

- Advertisement -

“Penerbangan sulung AMAL hasil MoU dengan Andalusia bagi musim baharu umrah 1446H ini dijangka bermula dari 21 Julai 2024 (14 Muharram 1446H) ini,” katanya dalam sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian Penerbangan Malaysia Airlines A330-200 Bagi Musim Umrah 1446H (2024/2025), di sini, hari ini.

Turut hadir ialah h Ketua Pegawai Operasi AMAL, Muhammad Najmi Mansor, Ketua Pembangunan Perniagaan AMAL, Roslan Ismail, dan Pengerusi Eksekutif Andalusia, Md Daud Che Ngah.

Dalam pada itu tambah Ida Riswana, walaupun terdapat pelbagai cabaran dari luar dan dalam, tetapi Andalusia tetap berjaya menerbangkan seramai 23,479 orang jemaah bersama penerbangan Malaysia Airlines.

“Kerjasama antara Andalusia dan AMAL sangat mudah, dari awal perbincangan hingga ke proses tempahan tiket penerbangan, sehinggalah jemaah pulang ke tanah air,” katanya.

Menurutnya lagi, kerjasama bersama AMAL ini telah membuatkan Andalusia dapat merealisasikan salah satu daripada amal dan kebajikan daripada pihaknya; dengan membuka peluang kepada ribuan umat Islam di Malaysia yang kurang bernasib baik untuk menjejakkan kaki di bumi Makkah melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR)Andalusia.

Ida Riswana Idris berucap di majlis menandatangani memorendum persefahaman (MoU) di antara Andalusia Travel dan Amal by Malaysian Airlines di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada hari ini.

“Pada 19 hingga 30 April lalu, melalui penerbangan AMAL, satu dunia berasa insaf menyaksikan seramai 30 orang jemaah cacat penglihatan dari Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) melakukan ibadah tawaf,” jelasnya.

Beliau menyatakan, masyarakat khususnya bakal jemaah umrah perlu sedar akan kepentingan mencari syarikat yang bersedia dari awal dengan tiket penerbangan dan hotel penginapan di Makkah dan Madinah untuk menjamin ibadah yang selesa.

“Dari sudut prinsip kami, kami tidak boleh untuk menjual apa-apa ‘barangan’ selagi barangan itu tiada.
“Maka, Andalusia akan terus melebarkan pasaran kami ke seluruh Malaysia bagi menyedarkan orang ramai bahawa adalah penting untuk hanya berurusan dengan syarikat yang boleh menjamin semua pakej yang ditawarkan mempunyai tempat duduk untuk setiap jemaah,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/5/2024

- Advertisement -