Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor calon PN PRK KKB

Muhyiddin di samping Khairul Azhari dalam Majlis Pengumuman Calon PRK Kuala Kubu Bharu,di Bilik Gerakan Utama Oasis Seksyen 4, Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor pada 25 April 2024.
- Advertisement -

HULU SELANGOR: Pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut, 54, dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB).

Pengumuman anak tempatan Felda Sungai Tengi, Kuala Kubu Bharu itu sebagai calon PN dilakukan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pengumuman calon yang diadakan di Majlis Pengumuman Calon PRK KKB di Bilik Gerakan Utama Oasis Seksyen 4, Bandar Utama Batang Kali, di sini, pada awal malam ini.

- Advertisement -

“Kita adakan mesyuarat majlis tertinggi beberapa hari lepas, kita bincang mengenai calon PN dengan lebih terperinci apakah langkah strategik untuk menang di sini (Kuala Kubu Bharu).

“Dengan ini, saya umumkan keputusan majlis tertinggi PN calon yang bertanding di KKB ialah Khairul Azhari Saut,” katanya.

Turut hadir pada majlis pengumuman calon, lewat malam tadi ialah  Pengarah Pilihan Raya Kebangsaan PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang juga Menteri Besar Kedah; Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

Dalam PRK yang dijadualkan pada 11 Mei ini, Khairul Azhari akan berdepan Pang Sock Tao, 31, dari PH, yang merupakan pegawai pembantu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Selain PN dan PH, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga menyatakan minat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu, namun masih belum membuat keputusan sama ada akan meletakkan calon atau sebaliknya.

Khairul yang kini merupakan Pengurus Besar, Global Valley Venture Sdn. Bhd. mendapat pendidikan awal di SK Felda Sungai Tengi, Kuala Kubu Bharu dan SMK Felda Soeharto, Kuala Kubu Bharu, sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (Diploma Eksekutif Pengurusan, 2019) dan Universiti Malaysia Pahang (Master Eksekutif Pengurusan Perniagaan, 2021).

Sebelum dilantik sebagai Pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor, beliau pernah mengisi jawatan Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor (2019 -2023) dan Naib Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor (2016 -2019). – HARAKAHDAILY 25/4/2024

- Advertisement -