PN umum calon PRK KKB malam ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PERIKATAN NASIONAL (PN) akan mengumumkan calon mewakili PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KBB) malam ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengumuman itu akan diadakan di Bilik Gerakan Utama, Oasis Seksyen 4, Bandar Utama Batang Kali pada 9 malam ini.

- Advertisement -

“PN menjemput anda semua saudara dan saudari, warga Hulu Selangor dan Kuala Kubu Baharu bagi menghadiri Majlis Pengumuman Calon PERIKATAN NASIONAL PRK N06 Kuala Kubu Baharu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pagoh menerusi kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau turut tersenarai dalam penceramah utama pada program malam ini beserta Ketua Penerangan PN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini, dan 27 April pula sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

- Advertisement -