OKU nikmati rebat pelepasan cukai pendapatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Orang Kurang Upaya (OKU) kategori B40 dan M40 layak menikmati rebat pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM400 bagi pendapatan bercukai kurang daripada RM35,000.

Selain itu, sebarang perbelanjaan membeli peralatan sokongan asas ke atas diri sendiri layak menuntut potongan cukai sehingga RM6,000 dan potongan cukai tambahan sebanyak RM6,000 jika berdaftar dengan JKM sebagai OKU.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, secara keseluruhan terdapat 21 item pelepasan cukai kepada golongan OKU bergantung kepada syarat-syarat dan kelayakan.

Katanya, golongan OKU yang berada dalam kategori B40 besar kemungkinan tidak dikenakan cukai setelah mengambil kira pelbagai pelepasan cukai dan rebat berkaitan.

“Justeru, layanan cukai sedia ada dilihat memadai bagi meringankan beban golongan OKU bagi kategori B40 dan M40. Bagaimanapun, kerajaan akan sentiasa mengkaji dan menambah baik dasar percukaian sedia ada dari semasa ke semasa, seiring dengan persekitaran ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Isaiah D Jacob yang meminta Menteri Kewangan menyatakan adakah kementerian berhasrat untuk memberikan rebat pelepasan cukai bagi pembelian kenderaan bermotor berjenama tempatan di bawah harga RM45,000 untuk golongan sasaran OKU kategori B40 dan M40.

Menjawab soalan ini, Steven berkata, kerajaan menyediakan pengecualian sepenuhnya ke atas duti eksais kenderaan untuk semua individu OKU dan cacat fizikal yang berkeupayaan memandu dengan syarat-syarat seperti pemohon berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan memiliki lesen memandu yang sah.

Selain itu, katanya kenderaan tidak boleh dijual atau ditukar milik sehingga tamat tempoh lima tahun dengan pengecualian mendapat kebenaran Kementerian Kewangan dan hanya dibenarkan untuk sebuah kenderaan bagi setiap lima tahun.

Sehubungan itu, katanya Kementerian Kewangan ketika ini tidak mempunyai perancangan untuk memberikan rebat pelepasan cukai kepada golongan OKU kategori B40 dan M40 bagi pembelian kenderaan bermotor.

Namun, katanya cadangan tersebut perlu diperhalusi dan dikaji secara menyeluruh. – HARAKAHDAILY 22/6/2023

- Advertisement -