Bukan parti retorik, Eizlan sertai PAS

Eizlan di samping Takiyuddin dalam majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya di Senawang, Negeri Sembilan pada 10 Jun 2023. (FOTO: Alfiearth Studio)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof mengesahkan telah menyertai parti PAS kerana yakin dengan perjuangan yang dibawa PAS bukan sekadar retorik dan parti tersebut bukan seperti yang digembar-gemburkan pihak lawan.

- Advertisement -

“Ya, saya sudah sertai PAS,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dibuat pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya sempena Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di Dataran D’Cattleya, Senawang, malam semalam.

Eizlan, 51, berkata demikian susulan kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di media sejak Sabtu lalu.

“Malah, selama bersama-sama Tan Sri (Annuar Musa) dalam Muafakat Nasional (MN), saya melihat kesungguhan beliau mahu menyatu padukan rakyat dan perjuangkan Islam dan Melayu tanpa mengenepikan perbezaan agama dan kaum,” katanya.

Selaku Ketua Penerangan Muafakat Nasional (MN) Negeri Selangor, Eizlan mengakui bahawa pengalaman politik lebih 50 tahun Annuar selaku Pengerusi MN memberi aspirasi dan inspirasi buat dirinya untuk bersama-sama tokoh politik tersohor Kelantan itu.

Eizlan bersama-sama Annuar Musa selepas majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya di Senawang, Negeri Sembilan pada 10 Jun 2023. (FOTO: Alfiearth Studio)

Annuar yang merupakan Presiden MN sah menjadi ahli PAS secara rasmi pada 10 Jun lalu, yang menyaksikan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang diiringi Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kad keahlian PAS kepadanya pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di Senawang.

Dalam kenyataan akhbar pada ketika itu, Takiyuddin berkata, PAS menerima keahlian bekas sAhli Parlimen Ketereh itu bersama 3,000 ahli baharu yang lain pada hari tersebut.

Gelombang kebangkitan rakyat

Sementara Annuar berkata, kemasukan selebriti seperti Eizlan ke dalam PAS dilihat sebagai satu kesedaran dari pelbagai lapisan masyarakat.

“Kalau dulu orang melihat yang menyertai PAS adalah golongan agamawan tetapi sekarang ini datang dari pelbagai latar belakang dan juga dokongan dari bukan beragama Islam sendiri.

“Kita akan ada beberapa sesi berasingan pengumuman menyertai PAS bersama Eizlan. Malam ini (semalam) adalah permulaan kepada gelombang kebangkitan rakyat,” katanya.

Selain Eizlan dan Annuar, PAS turut menerima keahlian baru lebih 3,000 orang dari seluruh negara, termasuk Dato Fyzal Fauzy, mantan Setiausaha Sulit kepada mantan Menteri Luar, PU Raihan dan Dayangku Intan. – HARAKAHDAILY 12/6/2023

- Advertisement -