
BAGAN SERAI: Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad diingatkan supaya berpegang kepada pendiriannya yang pernah bertegas untuk tidak menjual air Perak kepada Pulau Pinang.
Ketua Pembangkang, Razman Zakaria berkata, ketika Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, Saarani menyatakan bahawa mesti menyelesaikan isu dan keperluan air di negeri ini terlebih dahulu.
Menurut beliau, Saarani ketika itu menyebut ibarat orang yang naik kapal terbang, apabila corong udara terkeluar, maka selamatkan diri sendiri dahulu sebelum menyelamatkan orang lain.
“Tak tahulah kalau sekarang ini Umno telah pun bersama-sama dengan DAP dan bersama-sama dengan merealisasikan apa juga kehendak DAP. Mungkin ada pendirian lain. Tapi untuk isu Perak ini, kita mesti menyelesaikan air di Perak dahulu.
“Khususnya bagi kawasan pertanian yang menjadi sumber bekalan utama kepada rakyat iaitu di Bukit Merah dan sebagainya sekarang ini mengalami musim kemarau kekurangan air. Dan projek untuk memindahkan air daripada Sungai Perak ke Tasik Merah.
“Tertangguh sekian lama dan harga dikatakan telah menjadi dua kali ganda. Jadi, saya rasa minta maaflah kalau untuk bekalan air ke Pulau Pinang itu. Kalau Umno membenarkan air ini, kita harap orang Perak bangkit.
“Tukar kerajaan akan datang, insya-Allah kerajaan yang baru akan menilai untuk kebajikan rakyat Perak dulu yang habis tanah pun dijual, apa pun dijual, ini air pula nak dijual, pasir nak dijual.
“Baru ini kenyataan pasir pun nak dijual. Dulu tak timbul pun. Jangan jadi balaci DAP,” ujarnya berhubung isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen Jelutong, Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji di Dewan Rakyat, minggu lalu.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim digesa Rayer supaya membolehkan rundingan antara kedua kerajaan negeri itu agar air mentah daripada Perak boleh dibekalkan ke loji-loji rawatan air di Pulau Pinang.
Saarani juga terdahulu menyatakan kesediaan Perak menjual pasir dan batu dari negeri ini bagi pembangunan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) sekiranya wujud permintaan dari Kerajaan Pulau Pinang.
Kenyataannya itu dilihat menjadi reaksi balas terhadap penegasan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang mengisytiharkan Kedah tidak akan menjual pasir dan batu kepada Pulau Pinang bagi projek PSI. – HARAKAHDAILY 12/6/2023




















